Hari ini saya akan bercakap tentang sejarah seni bina dalam 30 tahun kebelakangan ini. Banyak perkara perlu disebut dalam 18 minit ini. Ia sebuah topik yang kompleks, jadi kita cuma akan meninjau sebuah tempat yang kompleks: New Jersey. Kerana 30 tahun lalu, saya berasal dari Jersey, masa itu saya berusia 6 tahun dan tinggal di rumah ibu bapa saya yang terletak di Livingston. Inilah bilik tidur saya pada masa itu. Di tepi bilik tidur saya ialah sebuah bilik air yang dikongsi dengan adik saya. Di antara bilik tidur dan bilik air itu terletaknya balkoni yang menghadap ruang tamu. Di situlah semua orang bersantai dan menonton TV. Jadi, bila saya berjalan dari bilik tidur saya ke bilik air, semua orang dapat melihat saya, dan setelah saya mandi dan cuma berbalutkan tuala, semua orang dapat melihat saya. Beginilah keadaan saya. Saya berasa kekok, tak selesa, saya bencikannya. Saya bencikan laluan itu, saya bencikan balkoni itu, saya bencikan ruang tamu itu, dan saya bencikan rumah itu. Itulah dia seni bina. (Gelak ketawa) Habis cerita. Perasaan dan emosi yang saya alami itu tercetus daripada hasil seni bina. Sebab, seni bina bukannya tentang matematik atau pengezonan, ia adalah tentang emosi kita yang meluap-luap terhadap tempat di mana kita berada. Ia bukannya perkara yang luar biasa jika kita berasa begitu, kerana menurut Agensi Perlindungan Persekitaran, warga Amerika menghabiskan 90% daripada masa mereka di dalam bangunan. Itu masanya kita berdepan dengan hasil seni bina. Agak lama masanya. Maksudnya, kita terpengaruh oleh hasil seni bina tanpa kita sedari. Ia menjadikan kita mudah terpedaya dan mudah dijangka. Jadi, bila saya menunjukkan bangunan ini kepada anda, saya tahu apa yang anda: Anda berfikir tentang "kuasa", " kestabilan" dan "demokrasi". Saya tahu kerana ia dibina berdasarkan sebuah bangunan yang dibina pada 2,500 tahun yang lalu oleh orang Yunani. Inilah caranya. Inilah cara yang digunakan oleh para arkitek untuk mewujudkan emosi anda terhadap bangunan-bangunan yang dibina. Ia merupakan emosi yang dapat dijangka, dan cara ini telah lama digunakan. Ia digunakan pada 200 tahun yang lalu untuk membina bank. Ia digunakan pada abad ke-19 untuk membina muzium seni. Pada abad ke-20 di Amerika, ia digunakan untuk membina rumah. Lihatlah rumah-rumah yang kukuh dan stabil ini yang menghadap laut dan terlindung daripada unsur-unsur alam. Ia amat berguna sekali, kerana membina sesuatu bukannya mudah. Ia mahal, mengambil masa yang lama, dan amat rumit. Pihak-pihak yang terlibat dalam pembinaan, iaitu pemaju dan kerajaan, mereka tak menyukai inovasi, mereka akan menggunakan reka bentuk yang anda sukai. Sebab itulah bangunan sebegini dibina. Bangunan ini kelihatan cantik. Inilah Perpustakaan Awam Livingston yang siap dibina pada tahun 2004 di tempat asal saya. Ia mempunyai kubah dan ia mempunyai bahagian yang bulat, tiang-tiang, bata merah. Anda dapat meneka apa yang Livingston cuba sampaikan melalui bangunan ini: kanak-kanak, nilai harta benda dan sejarah. Tapi, ia tak berkaitan sangat dengan tujuan perpustakaan pada hari ini. Pada tahun yang sama, tahun 2004, di bahagian lain negara ini, sebuah lagi perpustakaan siap dibina, dan beginilah rupanya. Ia terletak di Seattle. Ia menunjukkan bagaimana kita menggunakan media dalam era digital. Ia merupakan kemudahan awam yang baru di bandar itu. Ia tempat untuk berkumpul, membaca dan berkongsi. Jadi, kenapa agaknya pada tahun yang sama, di negara yang sama, two bangunan yang dipanggil perpustakaan ini, kelihatan amat berbeza sekali? Jawapannya, seni bina digunakan berdasarkan prinsip pendulum. Cara pertama melibatkan inovasi, dan arkitek sentiasa cuba menggunakan teknologi baru, tipologi baru, penyelesaian baru untuk cara hidup kita pada masa kini. Kami asyik bergantung pada inovasi sehingga kami mengabaikan pendapat anda. Kami berpakaian hitam, kami kelihatan murung, anda rasa kami kelihatan menarik, kami berasa sedih kerana kami tak dapat berbuat apa-apa. Jadi, kami menggunakan cara kedua dan memilih bentuk-bentuk yang anda sukai. Kami melakukannya dan anda berpuas hati. Ia telah berjaya. Jadi, kami menggunakan inovasi dan bentuk-bentuk secara berselang-seli. Ia telah berlaku selama 300 tahun, dan dalam 30 tahun kebelakangan ini. 30 tahun yang lalu, kita meninjau keadaan pada zaman 1970-an. Arkitek asyik mencuba sesuatu yang dipanggil brutalisme. Ia melibatkan konkrit. (Gelak ketawa) Anda dapat menekannya. Tingkat yang kecil, Ia bahan yang amat kukuh. Menjelang zaman 80-an, kami beralih kepada bentuk-bentuk. Kami menggunakan bentuk-bentuk semula. Kami menggunakan bentuk-bentuk yang anda sukai dan kami memperbaiknya. Kami menambah neon, kami menambah pastel, kami menambah bahan-bahan baru. Anda menyukainya. Anda berpuas hati dengannya. Kami menggunakan reka bentuk almari Chippendale untuk membina pencakar langit. Contohnya, istana zaman pertengahan yang diperbuat daripada kaca. Saiznya semakin besar, reka bentuknya semakin hebat dan berwarna-warni. Orang kerdil dijadikan tiang. (Gelak ketawa) Saiz swan yang amat besar sekali. Mengagumkan. Itulah dia zaman 80-an. Hebatnya. (Gelak ketawa) Kita suka ke pusat beli-belah, dan kita suka berpindah ke subbandar. Di subbandar, kita boleh mewujudkan hasil seni bina yang istimewa. Hasil seni bina tersebut boleh bergaya Mediterranean, Perancis, atau Itali. (Gelak ketawa) Mungkin ia termasuk roti jejari. Inilah yang dipanggil postmodernisme. Ia melibatkan bentuk-bentuk. Ia adalah mudah dan murah, kerana daripada membina tempat, kita membina tempat yang wujud dalam ingatan kita. Kerana saya tahu, anda semua pun tahu, sini bukannya Tuscany. sini ialah Ohio. (Gelak ketawa) Jadi arkitek berasa kecewa, dan kami beralih kepada cara pertama. Pada akhir zaman 80-an dan awal zaman 90-an, kami mula mencuba sesuatu yang dipanggil dekonstruktivisme. Kami tidak lagi menggunakan bentuk-bentuk. Kami bergantung pada teknik-teknik reka bentuk berbantukan komputer. Kami menggunakan reka bentuk baru, bentuk-bentuk yang saling bertimbunan. Ia bersifat ilmiah dan memeningkan. Ia langsung tak popular. Kami mengabaikan pendapat anda. Seperti biasa, kami akan beralih kepada cara lain pula. Kemudian, sesuatu yang hebat berlaku. Pada tahun 1997, bangunan ini dibuka. Inilah Guggenheim Bilbao. Ia direka oleh Frank Gehry. Bangunan ini telah mengubah pandangan orang ramai terhadap bidang seni bina. Paul Goldberger berkata Bilbao menyebabkan para pengkritik, ahli akademik dan orang ramai berada di pihak yang sama. New York Times menyatakan bahawa bangunan ini amat menakjubkan. Pelancongan di Bilbao meningkat sebanyak 2,500% setelah bangunan ini siap dibina. Jadi secara tiba-tiba, semua orang mahukan bangunan sebegini: L.A., Seatle, Chicago, New York, Cleveland, Springfield. (Gelak ketawa) Semua orang mahukannya. Gehry pergi ke banyak tempat. Dia telah menjadi arkitek yang terkenal. Jadi, kenapa bentuk-bentuk ini -- ia adalah kasar dan radikal -- kenapa ia wujud di mana-mana saja di seluruh dunia? Ia berlaku kerana pihak media telah memberikan liputan yang banyak dan memberikan anggapan bentuk-bentuk ini mewakili budaya dan pelancongan. Kita telah mewujudkan reaksi emosi terhadap bentuk-bentuk ini. Begitu juga dengan datuk bandar di seluruh dunia. Mereka tahu jika terdapatnya bentuk-bentuk ini, maka terdapatnya budaya dan pelancongan. Fenomena semasa peralihan abad ini berlaku pada para arkitek lain yang terkenal. Ia berlaku pada Zaha. dan berlaku pada Libeskind. Apa yang berlaku pada para arkitek ini semasa peralihan abad boleh juga berlaku pada seluruh bidang arkitek kerana media digital membolehkan pemerolehan maklumat yang pantas Fikirkan bagaimana anda melihat hasil seni bina. Seribu tahun yang lalu, anda perlu berjalan ke kampung sebelah untuk melihat sebuah bangunan. Setelah adanya pengangkutan: Anda menaiki bot dan kapal terbang. Anda menjadi pelancong. Setelah adanya teknologi: Anda melihatnya dalam surat khabar dan TV. Sehinggalah akhirnya, kita semua mengambil gambar-gambar bangunan, dan bangunan itu muncul dalam laman-laman web yang berbeza. Jadi, bangunan itu berada di semua tempat. Ia bermakna bahawa kepantasan komunikasi telah berjaya mengejar kemajuan dalam bidang seni bina. Oleh sebab bidang ini berkembang dengan pantas, reka bentuknya mudah disediakan. Tapi, membina bangunan mengambil masa yang lama, tiga atau empat tahun, dan sementara itu, arkitek akan mereka dua atau lapan atau seratus bangunan lagi sebelum mengetahui bangunan yang direka pada empat tahun yang lalu mendapat sambutan atau tidak. Ini kerana tidak terdapatnya lingkaran maklum balas yang baik. Sebab itulah terdapatnya bangunan-bangunan sebegini. Brutalisme tidak digunakan selama dua tahun saja. Ia digunakan selama 20 tahun. Selama 20 tahun, kami menghasilkan bangunan-bangunan sebegini kerana kami tidak tahu setakat mana anda membencinya. Ia tidak akan berlaku lagi saya rasa begitu, (Gelak ketawa) Terima kasih. (Tepukan)