Hari ini saya akan bercakap tentang sejarah seni bina dalam 30 tahun kebelakangan ini. Banyak perkara perlu dimasukkan dalam 18 minit ini. Ia topik yang kompleks, jadi kita cuma akan meninjau sebuah tempat yang kompleks: New Jersey. Kerana 30 tahun lalu, saya berasal dari Jersey, masa itu saya berusia 6 tahun dan tinggal di rumah ibu bapa saya yang terletak di Livingston. Inilah bilik tidur saya pada masa itu. Di tepi bilik tidur saya terletaknya bilik air yang saya kongsi dengan adik saya. Di antara bilik tidur dan bilik air itu terletaknya balkoni yang menghadap ruang tamu. Di situlah semua orang bersantai dan menonton TV. Setiap kali saya berjalan dari bilik tidur ke bilik air, semua orang dapat melihat saya. Setiap kali setelah saya mandi dan cuma berbalutkan tuala, semua orang dapat melihat saya. Saya kelihatan seperti ini. Saya berasa kekok, tidak selesa. Saya bencikannya. Saya bencikan laluan itu, saya bencikan balkoni itu, saya bencikan ruang tamu itu, dan saya bencikan rumah itu. Itulah dia seni bina. (Gelak ketawa) Selesai. Perasaan dan emosi yang saya alami itu tercetus oleh hasil seni bina, kerana seni bina bukannya tentang matematik atau pengezonan, ia adalah tentang emosi kita yang meluap-luap terhadap tempat di mana kita berada. Ia bukannya perkara yang luar biasa jika kita berasa begitu, kerana menurut Agensi Perlindungan Persekitaran, warga Amerika menghabiskan 90% daripada masa mereka di dalam bangunan. Itu masanya kita berdepan dengan hasil seni bina. Agak panjang masanya. Maksudnya, kita terpengaruh oleh hasil seni bina tanpa kita sedarinya. Ia menjadikan kita mudah terpedaya dan mudah dijangka. Maksudnya, bila saya menunjukkan bangunan ini kepada anda, saya tahu apa yang anda fikirkan: Anda berfikir tentang "kuasa", "kestabilan" dan "demokrasi". Saya tahu anda berfikir begitu kerana ia dibina berdasarkan sebuah bangunan yang dibina oleh orang Yunani pada 2,500 tahun yang lalu. Ini ialah sebuah cara. Ini ialah cara yang digunakan oleh arkitek agar anda dapat mengaitkan bangunan-bangunan yang kami bina berdasarkan bentuknya. Ia merupakan tindakan yang dapat dijangka, dan cara ini telah lama digunakan. Ia digunakan pada [200] tahun yang lalu untuk membina bank. Ia digunakan pada abad ke-19 untuk membina muzium seni. Di Amerika, semasa abad ke-20, ia digunakan untuk membina rumah. Lihatlah rumah-rumah yang kukuh dan stabil ini yang menghadap laut dan terlindung daripada unsur-unsur alam. Ia amat berguna sekali, kerana membina sesuatu bukannya mudah. Ia mahal, mengambil masa yang lama, dan amat rumit. Pihak-pihak yang terlibat dalam pembinaan, iaitu pemaju dan kerajaan, mereka tidak menyukai inovasi. Mereka lebih suka menggunakan reka bentuk yang anda suka. Itulah sebabnya bangunan sebegini dibina. Bangunan ini kelihatan cantik. Inilah Perpustakaan Awam Livingston yang siap dibina pada tahun 2004 di kampung saya. Ia mempunyai kubah dan ia mempunyai bahagian yang bulat, tiang-tiang, bata merah. Anda dapat meneka apa yang Livingston cuba sampaikan melalui bangunan ini: kanak-kanak, nilai harta benda dan sejarah. Tapi, ia tidak begitu berkaitan dengan fungsi perpustakaan pada hari ini. Pada tahun yang sama, tahun 2004, di bahagian lain negara ini, sebuah lagi perpustakaan siap dibina, dan beginilah rupanya. Ia terletak di Seattle. Ia menunjukkan bagaimana kita menggunakan media dalam era digital. Ia merupakan kemudahan awam yang baru di bandar itu. Ia tempat untuk berkumpul, membaca dan berkongsi. Jadi, kenapa agaknya pada tahun yang sama, di negara yang sama, dua bangunan yang dipanggil perpustakaan ini, kelihatan amat berbeza? Jawapannya, bidang seni bina diusahakan berdasarkan prinsip buah jam. Di sebelah ialah inovasi. Arkitek sentiasa cuba mencari teknologi baru, tipologi baru, penyelesaian baru untuk gaya hidup kita pada masa kini. Kami asyik memfokuskan pada inovasi sehingga kami mengabaikan pendapat anda. Kami berpakaian hitam, kami kelihatan murung, anda rasa kami kelihatan menarik, kami berasa sedih kerana kami tidak dapat melakukan apa-apa. Jadi, kami perlu ke sebelah dan memilih simbol-simbol yang anda suka. Kami melakukannya dan anda berpuas hati. Ia telah berjaya, jadi kami mencuba lagi dan kami asyik mengayunkan buah jam ke kiri dan ke kanan. Ia telah berlaku selama 300 tahun, dan dalam 30 tahun kebelakangan ini. 30 tahun yang lalu, kita meninjau keadaan pada tahun 70-an. Arkitek asyik mencuba sesuatu yang dipanggil brutalisme. Ia melibatkan konkrit. (Gelak ketawa) Anda dapat menekannya. Tingkap-tingkap kecil, mengabaikan sifat manusia. Ia bahan yang amat kukuh. Menjelang tahun 80-an, kami menggunakan semula simbol-simbol tersebut. Kami mengayunkan buah jam balik ke arah bertentangan. Kami menggunakan reka bentuk yang anda suka dan menambah unsur baru. Kami menambah neon, kami menambah pastel, kami menambah bahan-bahan baru. Anda menyukainya. Kami meneruskannya. Reka bentuk almari Chippendale digunakan untuk membina pencakar langit. Pencakar langit berupa istana zaman pertengahan yang diperbuat daripada kaca. Saiznya semakin besar, reka bentuknya semakin berani dan berwarna-warni. Orang kerdil dijadikan tiang. (Gelak ketawa) Saiz swan yang amat besar sekali. Memang gila. Tapi, itulah tahun 80-an. Ia kelihatan hebat. (Gelak ketawa) Kita suka ke pusat beli-belah, dan kita suka berpindah ke subbandar. Di subbandar, kita boleh mewujudkan bangunan yang istimewa. Bangunan tersebut boleh bergaya Mediterranean, atau Perancis, atau Itali. (Gelak ketawa) Ia tiada batasannya. Inilah dia postmodernisme. Inilah dia simbol. Ia adalah mudah dan murah, kerana daripada membina tempat baru, kami membina tempat yang dikenang. Kerana saya tahu, dan saya tahu anda semua tahu, sini bukannya Tuscany. sini ialah Ohio. (Gelak ketawa) Arkitek berasa kecewa, dan kami mengayunkan buah jam balik ke arah yang bertentangan. Pada akhir tahun 80-an dan awal tahun 90-an, kami mula mencuba sesuatu yang dipanggil dekonstruktivisme. Kami tidak lagi menggunakan simbol-simbol lama. Kami bergantung pada teknik-teknik reka bentuk berbantukan komputer. Kami menggunakan reka bentuk baru, bentuk-bentuk yang berbeza. Ia bersifat ilmiah dan memeningkan. Ia tidak popular langsung. Kami mengabaikan pendapat anda. Seperti biasa, buah jam akan berayun balik ke arah yang bertentangan. Kemudian, sesuatu yang hebat berlaku. Pada tahun 1997, bangunan ini dibuka. Ini ialah Guggenheim Bilbao yang direka oleh Frank Gehry. Bangunan ini telah mengubah pandangan orang ramai terhadap bidang seni bina. Paul Goldberger berkata bahawa Bilbao menyebabkan para pengkritik, ahli akademik dan orang ramai bersatu disebabkan sebuah bangunan. Menurut New York Times, bangunan ini ialah sebuah keajaiban. Pelancongan di Bilbao meningkat sebanyak 2,500% setelah bangunan ini siap dibina. Jadi secara tiba-tiba, semua orang mahukan bangunan sebegini: L.A., Seattle, Chicago, New York, Cleveland, Springfield. (Gelak ketawa) Semua orang mahukannya. Gehry pergi ke banyak tempat. Dia telah menjadi arkitek yang terkenal. Kenapa reka-reka bentuk ini -- ia adalah kasar dan radikal -- kenapa ia wujud di mana-mana saja di seluruh dunia? Ia berlaku kerana pihak media telah memberikan liputan yang banyak dan kita ingat reka-reka bentuk ini mewakili budaya dan pelancongan. Semua orang bertindak balas terhadap reka-reka bentuk ini. Begitu juga dengan datuk-datuk bandar di seluruh dunia. Mereka tahu jika terdapatnya reka-reka bentuk ini, maka terdapatnya budaya dan pelancongan. Fenomena semasa peralihan abad ini berlaku pada arkitek lain yang terkenal. Ia berlaku pada Zaha. dan berlaku pada Libeskind. Apa yang berlaku pada para arkitek ini semasa peralihan abad boleh juga berlaku pada bidang seni bina, kerana media digital membolehkan kita memperoleh maklumat pada kadar yang lebih pantas. Fikirkan bagaimana anda mendapat maklumat bangunan. Seribu tahun yang lalu, anda perlu berjalan ke kampung sebelah untuk melihat sebuah bangunan. Pengangkutan mempercepatnya: anda boleh menaiki bot dan kapal terbang. Anda boleh menjadi pelancong. Teknologi mempercepatnya: Anda boleh melihatnya dalam surat khabar, TV. Dan akhirnya, kita semua mengambil gambar-gambar bangunan. Bangunan itu bukan lagi terdapat di satu tempat. Kini, bangunan itu terdapat di mana-mana saja. Ia bermakna bahawa kepantasan komunikasi telah berjaya mengejar kemajuan dalam bidang seni bina. Oleh sebab bidang ini berkembang dengan pantas, reka bentuk bangunan mudah disediakan. Tapi, pembinaannya mengambil masa yang lama, tiga atau empat tahun, dan sementara itu, seorang arkitek akan mereka 2 atau 8 atau 100 bangunan lagi sebelum dia tahu bangunan yang direka pada 4 tahun yang lalu mendapat sambutan atau tidak. Ini kerana tidak terdapatnya lingkaran maklum balas yang baik dalam bidang seni bina. Sebab itulah terdapatnya bangunan-bangunan seperti ini. Trend brutalisme tidak berakhir selepas 2 tahun. Ia berterusan selama 20 tahun. Selama 20 tahun, kami membina bangunan-bangunan sebegini kerana kami tidak tahu anda bencikannya. Ia tidak akan berlaku lagi, rasanya begitu. Disebabkan berlakunya revolusi yang hebat dalam bidang seni bina sejak terciptanya konkrit, keluli, atau lif, iaitu revolusi media, maka teori saya ialah, bila media diletakkan pada buah jam ini, ia mula berayun dengan semakin cepat sehingga ia berada di kedua-dua belah pada masa yang sama, dan ia telah mengaburkan perbezaan antara inovasi dengan simbol, dengan kami, iaitu arkitek, dan anda, iaitu orang awam. Sekarang, dengan pantasnya, kami boleh mencipta simbol-simbol baru yang menyentuh emosi. Saya akan tunjukkan bagaimana ia dilakukan dalam sebuah projek yang baru disiapkan oleh syarikat saya. Kami diupah untuk menggantikan bangunan ini yang telah terbakar. Sini ialah Pines, pusat bandar Fire Island, Negeri New York. Ia sebuah tempat percutian. Kami mencadangkan sebuah rancangan yang berani, yang menggunakan bentuk-bentuk yang tidak biasa dilihat di situ. Kami berasa takut, klien kami berasa takut, komuniti di situ pun berasa takut. Jadi, kami menghasilkan gambar-gambar realistik dan memaparkannya di Facebook dan Instagram, dan kami melihat apa yang orang ramai lakukan: kongsikannya, memberi komen, sukakannya, bencikannya. Jadi, 2 tahun sebelum bangunan itu siap dibina, ia telah menjadi sebahagian daripada komuniti itu. Oleh sebab lukisan tersebut adalah serupa dengan produk akhir, maka tidak terdapatnya kejutan. Bangunan ini telah menjadi sebahagian daripada komuniti ini. Kemudian, pada musim panas yang pertama, bila orang ramai ke situ dan kongsikan gambar bangunan itu dalam media sosial, selain sebuah bangunan yang besar, ia telah menjadi sebuah media, kerana semua itu bukannya sekadar gambar-gambar sebuah bangunan, ia gambar-gambar yang anda ambil. Bila anda menggunakannya untuk menceritakan kisah anda, ia menjadi sebahagian daripada naratif peribadi anda, dan apa yang anda lakukan ialah, anda mengaburkan ingatan bersama semua orang, dan anda menghasilkan simbol-simbol yang menyentuh emosi ini untuk semua orang. Maksudnya, kita tidak lagi memerlukan orang Yunani untuk memberi kita idea dalam bidang seni bina. Kita boleh saling berbincang tentang bidang seni bina, kerana media digital bukan saja telah mengubah perhubungan antara kita semua, ia juga telah mengubah perhubungan antara kita dengan bangunan. Berfikir sebentar tentang pustakawan di Livingston. Jika mereka mahu membina sebuah perpustakaan, mereka akan melayari Internet dan mencari "perpustakaan baru". Mereka akan melihat banyak eksperimen, inovasi, dan banyak lagi maklumat tentang reka bentuk sebuah perpustakaan. Itulah senjata mereka. Itulah senjata yang boleh ditunjukkan kepada datuk bandar Livingston, warga livingston, dan berkata tidak terdapatnya reka bentuk yang tertentu untuk perpustakaan. Marilah menjadi sebahagian daripadanya. Contoh-contoh yang banyak ini membolehkan mereka menjalankan eksperimen sendiri. Semua perkara adalah berbeza sekarang. Arkitek bukan lagi orang yang penuh misteri yang menggunakan jargon dan lukisan yang rumit, dan anda bukannya orang yang kasihan, iaitu pengguna yang enggan menerima sesuatu yang anda tidak pernah lihat. Arkitek mendengar pendapat anda, dan anda tidak berasa takut pada arkitek. Maksudnya, buah jam yang berayun ulang-alik dari gaya ke gaya, dari trend ke trend adalah tidak relevan. Kita boleh pandang ke depan dan mencari penyelesaian yang relevan dengan masalah yang dihadapi oleh masyarakat kita. Sejarah bidang seni bina tamat di sini. Ia bermakna bahawa bangunan pada masa depan akan kelihatan jauh berbeza dengan bangunan pada masa kini. Ia bermakna bahawa ruang awam di Seville, sebuah bandar purba, boleh kelihatan unik dan disesuaikan mengikuti gaya moden di bandar. Ia bermakna bahawa stadium di Brooklyn mungkin bergaya Brooklyn, bukannya mempunyai bata merah dan pastis lama yang mana kita rasa ia sepatutnya begitu. Maknanya, robot akan membina bangunan kita, kerana akhirnya kita sudah bersedia untuk bentuk-bentuk yang akan dibinanya. Ia juga bermakna bahawa bangunan akan berkompromi dengan alam sekitar, bukannya sebaliknya. Ia bermakna garaj di Miami Beach, Florida, boleh juga dijadikan tempat untuk bersukan dan berlatih yoga, bahkan anda boleh berkahwin di situ pada waktu malam. (Gelak ketawa) Ia bermakna bahawa tiga arkitek boleh bermimpi tentang berenang di East River, New York, kemudian mengumpulkan hampir setengah juta dolar daripada sebuah komuniti yang menyokong impian mereka, bukannya daripada seorang klien. Ia bermakna bahawa inovasi juga boleh berlaku pada bangunan kecil. contohnya pavilion untuk melihat rusa kutub ini, rupanya adalah sehebat rusa-rusa kutub di situ. Ia juga bermakna bahawa bangunan tidak perlu kelihatan cantik agar ia akan disukai, contohnya bangunan yang hodoh ini di Sepanyol, yang mana arkiteknya menggali sebuah lubang, memasukkan rumput kering, kemudian mencurahkan konkrit di sekitarnya. Setelah konkrit menjadi kering, mereka menjemput seseorang untuk menguruskan rumput kering di situ agar apa yang tinggal setelah ia selesai ialah bilik kecil yang hodoh ini yang penuh dengan kesan-kesan yang ditinggalkan semasa ia dibina. Ia merupakan tempat yang hebat untuk melihat matahari terbenam. Kerana ia tidak penting jika lembu yang membina bangunan kita atau robot yang membinanya, bagaimana ia dibina tidak penting, yang penting apa yang kita bina. Arkitek sudah tahu cara untuk membina bangunan yang lebih mesra alam, lebih bijak dan mesra. Kami cuma menunggu anda semua mahukannya. Akhirnya, kita tidak lagi berada di pihak yang bertentangan. Temuilah seorang arkitek, upahlah seorang arkitek, bekerjasamalah dengan kami untuk membina bangunan, bandar, dan dunia yang lebih baik, kerana ganjarannya adalah besar. Bangunan bukan saja menggambarkan masyarakat kita, ia juga membentuk masyarakat kita walaupun ruangnya kecil: perpustakaan tempatan, rumah di mana kita membesarkan anak-anak, dan laluan yang diambil dari bilik tidur ke bilik air. Terima kasih. (Tepukan)