Saya membesar di Taiwan sebagai anak seorang ahli kaligrafi, salah satu kenangan yang paling dihargai ialah mak saya menunjukkan kepada saya kecantikan dan bentuk huruf-huruf Cina. Sejak itu, saya terpesona oleh bahasa yang menarik ini. Tapi bagi orang luar, ia seperti Tembok Besar China yang sukar ditembusi. Beberapa tahun yang lalu, saya tertanya-tanya kalau-kalau saya dapat menembusi tembok ini jadi sesiapa yang mahu memahami dan menghargai kecantikan bahasa yang anggun ini dapat buat begitu. Saya mula memikirkan cara pembelajaran bahasa Cina yang baru dan cepat. Sejak usia lima tahun, saya mula belajar cara menulis setiap strok untuk setiap huruf mengikut urutan yang betul. Saya belajar huruf baru setiap hari sepanjang 15 tahun seterusnya. Oleh sebab kita hanya ada lima minit, adalah baik jika kita gunakan cara yang cepat dan mudah. Seseorang cendekiawan Cina memahami 20,000 buah huruf. Anda hanya memerlukan 1,000 huruf untuk memahami literasi yang asas. 200 huruf terpenting membolehkan anda memahami 40% daripada kesusasteraan asas -- memadai untuk membaca isyarat jalan raya, menu restoran, memahami idea asas laman web atau surat khabar. Hari ini, saya akan mulakan dengan lapan huruf untuk menunjukkan bagaimana cara ini berfungsi. Anda sedia? Buka mulut anda seluas yang mungkin sehingga ia berbentuk empat segi. Ini ialah "mulut". Ini ialah orang yang sedang berjalan. "Orang". Jika bentuk api ialah orang yang mempunyai dua tangan di kedua-dua belah, seolah-olah dia sedang menjerit kegila-gilaan, "Tolong! Saya terbakar!" -- Sebenarnya, simbol ini berasal daripada bentuk api, tapi saya suka memikirkannya begitu. Apa-apa saja yang berguna untuk anda. Ini ialah pokok. "Pokok". Ini ialah "gunung". "Matahari". "Bulan". Simbol "pintu" kelihatan seperti pintu bar pada abad ke-19 di Amerika Syarikat. Saya menganggap lapan huruf ini huruf radikal. Ia merupakan blok binaan yang membolehkan anda membentuk lebih banyak huruf. Satu "orang". Jika ia diikuti "orang", ia membentuk "mengikuti". Bak kata pepatah (dalam Bahasa Inggeris), "Two is company, three is a crowd" (Dua sekawan, tiga berkumpulan). Jika "orang" membentangkan kedua-dua tangan dengan luas, ia membentuk "besar". Jika "orang" berada di dalam "mulut", dia terperangkap. Ia membentuk "banduan", seperti Nabi Yunus di dalam ikan paus. Satu "pokok" ialah "pokok". Dua "pokok" membentuk "hutan kecil". Tiga "pokok" membentuk "hutan". Satu garisan di bawah "pokok" membentuk "asas". "Mulut" di atas "pokok", membentuk "bodoh". Agak mudah untuk diingat, kerana pokok yang bercakap kedengaran bodoh. Masih ingat "api"? Dua "api" membentuk "panas". Tiga "api" membentuk "nyalaan api". Satu "api" di bawah dua "pokok" membentuk "bakar". Bagi kami, matahari ialah punca kemakmuran. Dua "matahari" membentuk "makmur". Tiga "matahari" membentuk "kilau". Biarkan "matahari" dan "bulan" bersinar bersama, ia adalah "terang". Ia juga bermakna "esok", selepas siang dan malam. "Matahari" muncul di atas kaki langit. "Matahari terbit". "Pintu". Letakkan satu garisan di dalam "pintu", ia membentuk "selak". Letakkan "mulut" di dalam "pintu", membentuk "tanya". Ketukan pintu. Ada orang di rumah? "Orang" menyelinap keluar melalui "pintu" membentuk "melarikan diri", "mengelakkan diri". Di sebelah kiri, terdapat seorang "perempuan". Dua "perempuan" membentuk "pertengkaran". (Bunyi ketawa) Berhati-hati! Tiga "perempuan" membentuk "zina". Jadi, kita telah melihat hampir 30 huruf. Dengan menggunakan cara ini, lapan huruf yang radikal membolehkan anda membentuk 32 huruf. Lapan huruf yang seterusnya akan membentuk 32 huruf. Jadi, dengan mudahnya, anda dapat belajar ratusan huruf, yang sama seperti seorang budak Cina berumur lapan tahun. Setelah belajar tentang huruf, mari kita membentuk frasa. Contohnya, "gunung" dan "api" membentuk "gunung berapi". Kita tahu yang Jepun ialah negara matahari terbit. Ini ialah "matahari" dan "asas", ini kerana Jepun terletak di sebelah timur China. "Matahari" dan "asas" membentuk "Jepun". "Orang" di belakang "Jepun", apa yang kita dapat? "Orang Jepun". Huruf di sebelah kiri ialah dua "gunung" yang bertimbun. Semasa zaman China kuno, ia bermakna "hidup dalam buangan", ini kerana maharaja China menempatkan musuh politik mereka di gunung-gunung. Kini, huruf ini bermakna "keluar". "Mulut" yang memberitahu anda di mana jalan keluar ialah hala "keluar". Slaid ini mengingatkan saya bahawa saya patut behenti bercakap dan turun dari pentas. Terima kasih. (Tepukan)