Terjemahan Google adalah alat percuma yang membolehkan anda menterjemah ayat, dokumen
malahan keseluruhan laman web dengan serta-merta.
Tetapi bagaimana sebenarnya ia berfungsi? Walaupun ia kelihatan seperti kami mempunyai bilik yang dipenuhi
oleh orang bunian dwibahasa yang bekerja untuk kami, hakikatnya semua terjemahan kami datangnya dari komputer.
Komputer ini menggunakan proses yang dipanggil "terjemahan mesin statistik"--iaitu cuma cara istimewa untuk
mengatakan yang komputer kami menjana terjemahan berdasarkan corak yang dijumpai dalam jumlah teks yang besar.
Tetapi mari melangkah selangkah ke belakang. Jika anda mahu mengajar seseorang bahasa yang baru, anda mungkin
bermula dengan mengajar mereka kosa kata dan peraturan tatabahasa yang menerangkan bagaimana untuk membina ayat.
Komputer boleh belajar bahasa asing dengan cara yang sama - dengan merujuk kepada kosa kata
dan satu set peraturan.
Tetapi bahasa adalah rumit dan, sebagaimana yang boleh diberitahu oleh mana-mana pelajar bahasa, terdapat
pengecualian terhadap kebanyakan peraturan. Apabila anda cuba menguasai semua pengecualian ini, dan pengecualian
demi pengecualian, dalam program komputer, mutu terjemahan mula merosot.
Terjemahan Google mengambil pendekatan yang berlainan. Daripada cuba mengajari komputer kami semua peraturan
bahasa, kami membenarkan komputer kami meneroka peraturan tersebut dengan sendiri. Ia melakukannya dengan
menganalisis berjuta-juta dokumen yang telah diterjemahkan oleh penterjemah manusia. Teks yang
telah diterjemahkan ini datang daripada buku, organisasi seperti PBB dan laman
web dari seluruh dunia.
Komputer kami mengimbas teks ini mencari corak statistik penting--iaitu, corak di antara
terjemahan dan teks asalyang tidak mungkin berlaku secara kebetulan. Sebaik sahaja komputer menjumpai
suatu corak, ia boleh menggunakan corak ini untuk menterjemah teks yang serupa pada masa hadapan.
Apabila anda mengulangi proses ini berbilion kali, hasilnya anda mempunyai berbilion corak dan
satu program komputer yang amat pintar.
Bagaimanapun, untuk beberapa bahasa kami tidak banyak mempunyai dokumen diterjemahkan yang tersedia
dan oleh itu jumlah corak yang dikesan oleh perisian kami juga adalah kurang. Inilah sebabnya mutu
terjemahan kami akan berbeza-beza mengikut bahasa dan pasangan bahasa. Kami sedia maklum yang
terjemahan kami tidak selalunya sempurna tetapi dengan memberikan teks diterjemahkan yang baru secara tetap,
kami boleh menjadikan komputer kami lebih pintar dan terjemahan kami lebih baik.
Oleh itu, lain kali bila anda menterjemah ayat atau laman web dengan Terjemahan Google, fikirkan tentang
berjuta-juta dokumen dan berbilion corak tersebut yang pada akhirnya membawa anda kepada
terjemahan anda - dan semuanya berlaku dalam sekelip mata.
Hebat juga, betul tak?
Cubalah di translate.google.com.