Hari ini saya ingin memperkatakan sesuatu yang mungkin ada antara anda semua pernah dengar. Ia berkaitan dengan Kebangkitan Arab. Sesiapa pernah dengar tentangnya? (Tepukan) Pada tahun 2011, terjadinya peralihan kuasa, daripada sekumpulan kecil orang kepada rakyat, dari pejabat-pejabat pemerintahan ke dataran-dataran rakyat, dari siaran-siaran udara yang dipantau kepada rangkaian-rangkaian sumber terbuka. Tetapi sebelum Tahrir muncul sebagai simbol global pembebasan, sebenarnya sudah ada tinjauan-tinjauan yang memberikan suara kepada rakyat dalam keadaan yang lebih senyap namun mempunyai kekuatan. Saya mengkaji masyarakat Islam seluruh dunia di Gallup. Sejak tahun 2001, kami telah menemuramah beratus ribu orang -- tua dan muda, lelaki dan wanita, yang terpelajar dan yang tidak. Ceramah saya pada hari ini berdasarkan kajian ini bagi mendedahkan mengapa bangsa Arab bangun menentang dan apa yang mereka mahukan pada hari ini. Rantau Arab ini berbeza-beza, dan setiap sebuah negaranya sangat unik. Tetapi mereka yang bangun menentang mempunyai rasa kilanan yang sama dan mereka mahukan perkara yang sama pada hari ini. Ceramah saya hari ini akan banyak tertumpu pada Mesir. Tetapi bukan sebab ia negara kelahiran saya. Tetapi kerana Mesir ialah negara Arab terbesar dan mempunyai pengaruh yang sangat besar. Saya akan mengakhiri ceramah ini dengan melihat keseluruhan rantau Arab untuk meninjau topik-topik biasa tentang pendapat bangsa Arab ini mengenai agama dan politik dan bagaimana ia memberi kesan kepada kaum wanita, dalam masa yang sama mendedahkan beberapa kejutan. Jadi, selepas menganalisa segunungan data, apa yang kami temui ialah: Pengangguran dan kemiskinan bukanlah satu-satunya sebab yang membawa kepada kebangkitan bangsa Arab pada tahun 2011. Mungkin tindakan penjual buah Tunisia yang terdesak mencetuskan revolusi ini, namun perbezaan antara apa yang dialami oleh bangsa Arab ini dengan apa yang mereka mahukan yang menjadi api yang menyemarakkan tentangan. Untuk menjelaskan lagi maksud saya, mari lihat trend di Mesir. Mesir mempunyai prestasi yang baik di atas kertas. Kejayaan ini mendapat sanjungan dan anugerah daripada organisasi-organisasi antarabangsa disebabkan pertumbuhan ekonominya. Tetapi di sebalik semua itu ialah satu realiti yang sangat berbeza. Pada tahun 2010, sebelum berlakunya revolusi, walaupun KDNK per kapita berkembang sebanyak 5% untuk beberapa tahun, rakyat Mesir tidak pernah rasa seteruk yang mereka rasa pada tahun itu, Keadaan ini sudah tentunya sangat pelik, kerana di seluruh dunia, kami dapati, sepatutnya, rakyat berasa lebih baik apabila negara mereka menjadi lebih makmur. Dan perkara ini disebabkan mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik dan kerajaan mereka menawarkan perkhidmatan sosial yang lebih baik. Tetapi, perkara yang sebaliknya berlaku di Mesir. Semakin negara tersebut menjadi lebih kaya, kadar pengangguran semakin meningkat dan tahap kepuasan rakyat terhadap perumahan dan pendidikan antaranya merudum. Tetapi kemarahan terhadap ketidakadilan ekonomi bukanlah semata-mata sebabnya Ia juga disebabkan keinginan rakyat untuk mendapatkan kebebasan. Berbeza dengan teori pertembungan budaya, bangsa Arab sebenarnya tidak membenci keterbukaan negara Barat, mereka sebenarnya mahukan keterbukaan itu. Seawal tahun 2011, kami menemuramah bangsa Arab dan orang Islam secara amnya di seluruh dunia, apa yang paling mereka kagumi tentang masyarakat Barat. Antara jawapan yang sering diberikan ialah keterbukaan dan keadilan. Menggunakan kata-kata mereka sendiri kami dapat jawapan seperti, "Sistem politik mereka telus dan berdasarkan demokrasi yang sebenar." Seorang lagi berkata "keterbukaan dan kebebasan dan bersikap minda terbuka sesama sendiri." Sebanyak 90% dan lebih responden di Mesir, Indonesia dan Iran memberitahu kami pada tahun 2005 jika mereka dapat merangka satu perlembagaan baru secara teorinya untuk sebuah negara baru mereka jamin yang kebebasan bersuara dijadikan satu hak asasi, terutamanya di Mesir. 80% mengatakan beralih ke arah demokrasi yang lebih luas dapat membantu orang Islam maju -- ini merupakan peratusan paling tinggi dalam semua negara yang kami kaji. Tetapi yang mengekang aspirasi demokrasi ini adalah pengalaman sehari-hari rakyat yang sangat berbeza, terutamanya di Mesir. Rakyat Mesir memang sangat inginkan demokrasi, tetapi mereka adalah golongan populasi dunia yang paling tidak mungkin untuk mengatakan yang mereka dapat menyuarakan pendapat kepada seorang pegawai awam pada bulan sebelumnya -- hanyalah 4%. Pembangunan ekonomi hanya menjadikan sebilangan orang kaya, selebihnya miskin atau lebih teruk lagi. Rakyat merasa semakin hari semakin kurang kebebasan, pada masa yang sama mereka merasakan kebajikan mereka tidak dipedulikan. Daripada menganggap rejim pemerintahan sebelum ini sebagai kerajaan yang baik hati, walaupun terlalu bersifat melindungi, rakyat Mesir menganggap pemerintahan Mesir sebagai warden penjara. Kini rakyat Mesir telah berjaya menamatkan pemerintahan Mubarak selama 30 tahun itu, dan mereka kini boleh menjadi contoh kepada rantau Arab. Jika Mesir berjaya membina sebuah masyarakat yang berasaskan peraturan undang-undang, ia boleh menjadi satu model. Namun jika, isu-isu teras yang menggerakkan revolusi ini tidak ditangani, akibatnya akan menjadi sangat buruk -- bukan hanya terhadap Mesir, tetapi terhadap keseluruhan rantau ini. Ada yang mengatakan, petanda-petandanya tidak berapa bagus. Pejuang Islam, bukannya pejuang muda liberal yang memulakan revolusi itu, telah memenangi majoriti di Parlimen. Majlis tentera telah menekan orang awam dan menyekat protes dan ekonomi negara tetap merosot. Namun untuk menilai Mesir berdasarkan perkara ini semata-mata menidakkan revolusi yang sebenar-benarnya. Rakyat Mesir semakin bersikap optimistik berbanding tahun-tahun sebelumnya, tidak terlalu banyak berbeza pendapat antara golongan yang pentingkan agama dengan golongan sekular tidak seperti yang kita fikirkan sebelum ini dan mereka bersiap sedia untuk menghadapi kehendak-kehendak demokrasi. Sama ada mereka menyokong pejuang Islam ataupun liberal, Keutamaan setiap rakyat Mesir bagi kerajaan baru ini adalah sama, iaitu pekerjaan, kestabilan dan pendidikan, bukannya polisi moral. Tetapi yang paling penting, buat pertama kalinya setelah berdekad-dekad lamanya, rakyat Mesir mahu menjadi pelaku aktif, bukan penonton semata-mata, dalam menangani hal-ehwal negara mereka. Saya ada menemui sekumpulan ahli parlimen yang baru dilantik dari Mesir dan Tunisia beberapa minggu lalu. Daripada pertemuan itu apa yang menyedarkan saya tentang mereka ialah, mereka ini bukan sahaja optimistik, tetapi mereka juga agak gementar, kalau itulah perkataan yang sesuai. Salah seorang daripada mereka berkata, "Rakyat kami sebelum ini sering berkumpul di kafe-kafe menonton bola sepak" -- "Rakyat kami sebelum ini sering berkumpul di kafe-kafe menonton bola sepak" -- "sekarang ini mereka berkumpul untuk menonton Parlimen." (Gelak tawa) "Mereka benar-benar memerhatikan kami, dan semestinya kami bimbang yang kami tidak dapat memberikan apa yang mereka harapkan." Dan perkara yang benar-benar menyedarkan saya adalah kurang daripada 2 tahun yang lalu, rakyat Mesir ini yang berasa risau yang mereka diperhatikan oleh kerajaan. Dan sebab mereka mahukan banyak perkara adalah kerana mereka mendapat satu harapan baru untuk masa depan. Sebelum revolusi ini kami katakan bahawa rakyat Mesir tidak pernah rasa seteruk yang mereka rasa ketika itu tetapi sebenarnya bukan itu sahaja, mereka turut merasakan yang masa depan mereka sangat kelam. Perkara yang sebenar-benarnya berubah selepas kejatuhan Mubarak bukanlah kehidupan mereka berubah menjadi lebih senang. Kerana hidup mereka sebenarnya bertambah sukar. Tetapi jangkaan rakyat terhadap masa depan mereka meningkat dengan ketara. Dan harapan ini, dan sikap optimistik ini masih kekal semasa transisi yang kucar-kacir selama setahun itu. Satu sebab wujudnya transisi ini adalah kerana, berbanding dengan apa yang dikatakan oleh kebanyakan orang, sebahagian besar rakyat Mesir merasakan banyak perubahan yang berlaku. Rakyat Mesir yang sebelum ini terkenal kerana peratusan mengundi yang hanya satu digit sebelum revolusi ini semasa pilihanraya yang baru sahaja diadakan menyaksikan kehadiran 70% pengundi lelaki dan wanita. Pada tahun 2010 hanya satu suku yang percayakan kejujuran pilihanraya pada tahun itu -- Saya pun terkejut dengan angka ini -- 90% berpendapat pilihanraya yang baru diadakan itu ialah satu pilihanraya yang jujur. Perkara ini penting kerana kami telah menemui satu kaitan antara kepercayaan rakyat terhadap proses demokrasi mereka dengan kepercayaan bahawa golongan yang tertindas mampu mengubah situasi mereka melalui cara yang aman semata-mata. (Tepukan) Saya tahu apa yang segolongan daripada anda fikirkan. Rakyat Mesir, dan bangsa Arab lain yang bangun menentang dan kini berada dalam proses transisi, mempunyai harapan dan jangkaan yang tinggi terhadap kerajaan mereka. Mereka merupakan mangsa autokrasi jangka panjang, yang menginginkan sebuah kerajaan menyelesaikan semua masalah mereka. Tetapi kesimpulan yang dibuat ini menidakkan satu peralihan yang besar yang sedang berlaku di Mesir jauh daripada rakaman di Dataran Tahrir. Iaitu harapan dan jangkaan rakyat Mesir ini yang pertama sekali diletakkan ke atas diri mereka sendiri. Di sebuah negara yang dulunya dikenali kerana penerimaan penuh reda lagi pasif, yang mana, seteruk manapun keadaan mereka, hanya 4% sahaja yang menyuarakan pendapat kepada pegawai kerajaan, hari ini 90% daripada mereka mengatakan bahawa jika ada masalah dalam komuniti mereka, mereka sendiri akan mengatasinya. (Tepukan) 3/4 daripada mereka pula percaya yang mereka bukan sahaja mempunyai tanggungjawab tetapi mereka juga mampu melakukan perubahan. Dan pemerkasaan ini juga dialami oleh kaum wanita, dan peranan mereka dalam kebangkitan ini tidak boleh dipandang remeh. Mereka merupakan para doktor dan penentang, artis dan penganjur. Sepertiga daripada mereka yang mengharungi kereta kebal dan gas pemedih mata bagi meminta atau mendesak dasar keterbukaan dan keadilan di Mesir ialah golongan wanita. (Tepukan) Sekarang ini, ramai yang menyatakaan kebimbangan mereka tentang kebangkitan parti Islamis dan kesannya terhadap wanita. Apa yang kami pelajari mengenai peranan agama dalam undang-undang dan peranan agama dalam masyarakat ialah, tiadanya konsensus wanita. Kami dapati kaum wanita di sebuah negara kelihatan lebih kurang sama dengan kaum lelaki di negara tersebut berbanding dengan kaum wanita di negara yang lain. Perkara ini menunjukkan bahawa bagaimana wanita melihat peranan agama dalam masyarakat lebih dipengaruhi oleh budaya dan konteks negara mereka berbanding pandangan monolitik bahawa agama tidak bagus untuk wanita. Namun begitu, kaum wanita bersetuju tentang peranan mereka sendiri, yakni mestilah utama dan aktif. Dan di sinilah kita dapat melihat perbezaan besar antara jantina dalam sesebuah negara -- iaitu isu berkaitan hak-hak wanita. Oleh itu pendapat lelaki terhadap hak-hak wanita sangat penting terhadap masa depan rantau ini. Kerana kami menemui satu hubungan antara sokongan kaum lelaki ke atas wanita yang bekerja dengan berapa ramai wanita yang bekerja dalam bidang profesional di negara ini. Oleh itu, soalannya di sini, Apa yang menyebabkan sokongan lelaki terhadap hak-hak wanita? Apakah pendapat lelaki terhadap agama dan undang-undang? Adakah pendapat kaum lelaki terhadap peranan agama dalam politik mempengaruhi pendapat mereka terhadap hak-hak wanita? Jawapannya, "tidak". Kami tidak menemui sebarang korelasi, atau impak antara kedua-dua pembolehubah ini. Apa yang menggerakkan sokongan kaum lelaki terhadap kerjaya wanita ialah kadar pekerjaan lelaki, tahap pendidikan mereka serta skor yang tinggi dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB di negara mereka. Maknanya di sini pembangunan manusia, bukan sekularisasi, ialah kunci utama kepada pemerkasaan wanita di Timur Tengah yang sedang melakukan perubahan ini. Dan transformasi ini diteruskan. Dari Wall Street ke Mohammed Mahmoud Street, amatlah penting untuk memahami aspirasi rakyat biasa. Terima kasih. (Tepukan)