Saya mahu berkongsi dengan anda semua sebuah idea yang saya percaya dapat membentuk masa depan pembelajaran diperibadikan. Semua orang dapat melakukannya hari ini juga, ia percuma, dan ia tidak dapat dirampas daripada anda. Saya namakannya "Blog Pembelajaran Seumur Hidup". Ia tidak seperti blog-blog lain yang bertujuan untuk menarik minat pembaca, tapi untuk membantu orang muda belajar. Agak mudah saja. Pertama, fikirkan budak yang anda sayangi. Kemudian, daftarkan sebuah akaun Google, atau sebagainya, dan bantu mereka sediakan sebuah blog. Jika anda rasa mereka terlalu muda untuk miliki akaun Google sendiri, mereka boleh gunakan akaun anda. Akhirnya, inilah yang utama: pastikan anda ada widget e-mel, dan libatkan diri sendiri dan sekurang-kurangnya 4 orang dewasa yang juga sayangkan budak itu. Jika keluarga anda adalah seperti keluarga saya, kita ada sebuah persamaan: datuk nenek. Orang tua dan orang muda mempunyai interaksi yang ketara. Orang tua dan orang muda mempunyai interaksi yang ketara. Pemenang anugerah TED Talk, Sugata Mitra, menamakannya "Granny Cloud", iaitu sokongan yang memotivasikan budak-budak agar lebih berusaha. Jika keluarga anda bukan begitu, semakin banyak yang bukan begitu, khasnya di kawasan di mana saya tinggal, maka mungkin cuma ada ibu atau bapa saja, dan mungkin terdapatnya isu teknikal and bahasa, tapi bagi kebanyakan budak, terdapat beberapa orang dewasa yang ambil berat padanya dan mahu membantu. Mungkin guru tuisyen, pekerja sosial, saudara jauh, atau cikgu. Kira-kira 20 minit diperlukan untuk sediakan blog ini. Saya telah sediakan arahan di sebuah laman web: blogsandbadges.com. Langkah seterusnya lebih sukar, tapi di situlah keseronokan bermula. Bagi anak bongsu saya, Charlie, ini permulaannya: "Tak nak!" Charlie telah melihat kesan blog pada abangnya, Max, dan berasa bahawa dia belum bersedia untuknya. Max berhenti ke sekolah pada tahun lalu agar dia dapat ikuti pembelajaran ini selama 6 bulan, iaitu "semester in Geeklylandia", sebuah nama yang kami berikan. Pengalaman dan blog dia, "Postcards from Geeklylandia", telah menunjukkan kepada saya dan isteri saya, kedua-duanya pendidik, keberkesanan blog dan alat pembelajaran seumur hidup. Berbeza dengan MOOC dan Khan Academy, blog budak-budak adalah tentang membuat sambil belajar. Menulis dalam bentuk media yang menarik, misalnya blog, memupuk 3 ciri utama yang membantu budak-budak bersedia untuk masa depan. Pertama: Berkomunikasi dengan orang lain dengan menulis secara berkesan dan kreatif. Kedua: Berkomunikasi dengan komputer dan peranti secara teknikal dan logik. Ketiga: Memupuk sikap berdikari dan tabah, iaitu sikap yang mendorong kita untuk berinterasi dengan orang dan komputer dan menyempurnakan sesuatu. Saya berusaha untuk fikirkan cara untuk menjelaskan apa yang saya mahu sampaikan, kerana idea ini amat mudah tapi boleh dihuraikan lagi. Mendorong budak-budak untuk menulis blog adalah semudah menyuruh mereka sediakan tugasan yang telah disiapkan. Atau, menulis keterangan gambar bagi gambar yang diambil baru-baru ini. Mungkin 3 kali setahun, atau setiap hari. Sedikit adalah baik. Banyak adalah bagus. Setiap blog akan menerima galakan daripada datuk nenek, ibu bapa dan kawan-kawan ahli keluarga. Oleh sebab saya dihubungkan dengan blog anak saya, saya akan terima setiap blognya. Mungkin saya tidak dapat memberikan komen pada waktu pagi, saya tahu hasil kerja mereka, dan sedia untuk berbincang dengan mereka semasa waktu makan malam, atau sarapan. Platform blog hampir sama dengan Platform Facebook, tapi terdapat perbezaan yang penting antara budaya rakan sebaya di Facebook dengan budaya dalam talian yang wujud apabila budak-budak menulis blog kepada ibu bapa, datuk nenek dan kawan-kawan ahli keluarga. Setelah Max, Charlie, dan budak-budak lain yang saya kenal keluar dari sekolah menengah dan lanjutkan pelajaran, atau bekerja, mereka telah mengumpulkan semua hasil kerja dalam komputer. Mereka boleh gunakannya untuk meneliti semula pencapaian dan pembelajaran mereka, dan mereka boleh sediakan portfolio daripadanya, hasil kerja terbaik, lencana, sijil dan diploma. Ramai budak melalui sebuah tahap di mana mereka suka membaca, tapi mereka benci menulis. Kedua-duanya perlukan latihan dan agak sukar pada mulanya. Kita selalu mengajar anak-anak kita membaca dan bertutur, dan berlatih dengan mereka sejak mereka kecil lagi, tapi menulis jarang dihiraukan dan ia diserahkan kepada sekolah. Apabila anda serahkan tugas itu kepada sekolah, saya katakannya dengan penuh hormat kepada guru-guru, hasil tulisan pelajar dihantar untuk disemak dan dikembalikan kemudian dengan tulisan merah. Saya cuma mahu sampaikan pendapat saya. Isteri saya seorang guru kelas gred 7 di sebuah sekolah awam. Dia bekerja setiap hujung minggu, menyemak kertas soalan dan memberikan komen kepada pelajar. Di sekolah rendah yang biasa, terdapat kira-kira 20 pelajar dalam sebuah kelas, setiap pelajar mendapat sedikit perhatian. Jika pelajar ada blog pembelajaran yang diikuti 5 orang dewasa, maka ada 5 orang yang ambil berat padanya, dia mendapat lebih banyak perhatian. Saya bukannya mengatakan komen datuk nenek pada blog adalah sama seperti komen guru. Masa dan kesesuaian adalah berbeza. Guru ialah profesional yang diupah untuk mengajar sepenuh masa. Orang dewasa lain dalam dunia digital mungkin tidak ada kemahiran yang dimiliki guru, tapi mereka boleh memberikan sokongan, galakan dan komitmen seumur hidup, ini adalah penting. Di sekolah menengah di mana biasanya cikgu mengajar 5 kelas, nisbah kemajuan bagi blog ialah 500:1, ia mengandaikan hanya 5 orang dewasa yang daftarkan diri untuk blog. Ini sebuah peningkatan yang baik. Inisiatif pendidikan yang lain tidak memberikan hasil yang begitu baik. Jadi, jika anda percaya membuat sambil belajar amat berkesan, bukannya menerima secara pasif, dan menulis secara berkesan dan kreatif ialah kemahiran yang mesti dipelajari, dan dorongan untuk menulis amat dipengaruhi oleh komen daripada orang dewasa yang prihatin, maka anda mempercayai potensinya. Pelajar yang menulis blog kepada orang dewasa yang prihatin menunjukkan kemajuan yang tinggi dalam salah satu kitaran pembelajaran: menulis dan memberikan komen. Ini adalah sama seperti membaca kepada anak anda. Setiap orang tahu cara untuk melakukannya. Tidak melakukannya akan memudaratkan anak anda. Menulis pun begitu. Anda boleh lakukan sesuatu yang percuma dan mudah untuk membantu anak-anak anda. Soalan saya: Mahukah anda sediakan blog ini untuk anak anda? Sila angkat tangan atau berdiri jika anda telah bersedia untuk melakukannya. Terima kasih. (Tepukan)