3 tahun lepas, Saya buat keputusan yang terbaik dalam hidup saya. Sebagai resolusi tahun baru, Saya berhenti berdiet, berhenti risau tentang berat badan, dan belajar untuk makan dengan lebih berhati-hati. Sekarang, saya hanya makan apabila lapar, dan saya telah turun 5kg. Ini saya, masa berumur 13 tahun, apabila saya diet buat kali pertama. Ketika tengok gambar itu, saya fikir, "Kamu tak perlukan diet, kamu perlukan perunding fesyen." (Gelak ketawa) Tapi saya rasa, saya perlu turunkan berat badan, apabila berat badan naik balik, sudah tentu saya salahkan diri sendiri. Dan sepanjang tiga dekad yang berikutnya, saya cuba pelbagai jenis diet. Tak kira apa yang saya cuba, berat yang saya hilang pasti naik balik. Saya pasti ramai yang tahu bagaimana perasaannya. Sebagai neurosaintis, Saya tertanya-tanya, kenapa susah sangat? Tentu sekali, berat bergantung pada amoun yang dimakan dan tenaga yang dibakar. Apa yang ramai orang tidak sedar, perasaan lapar dan penggunaan tenaga dikawal oleh otak, tanpa disedari. Otak banyak melakukan kerja di belakang tabir, dan itu suatu yang baik, kerana minda sedar mudah terganggu. Nasib baik kita tidak perlu diingatkan untuk bernafas apabila terlalu asyik menonton filem, tidak lupa cara untuk berjalan kerana memikirkan tentang makan malam. Otak mempunyai deria tersendiri terhadap berat badan seseorang tanpa mengira kepercayaan seseorang itu dalam keadaan sedar. Ini dipanggil "titik set", satu istilah yang mengelirukan, kerana ia sebenarnya julat dalam lingkungan 5-7kg. Anda boleh mengubah gaya hidup bagi menaik turun berat badan dalam lingkungan julat itu, tetapi jauh lebih sukar untuk berada di luar julat tersebut. Hipotalamus, bahagian otak yang mengawal berat badan, terdapat banyak isyarat kimia dalam otak yang menyuruh badan untuk menambah berat, dan banyak juga yang menyuruh badan untuk menurunkan berat, dan sistem ini bertindak seperti termostat, bertindak balas kepada isyarat dari badan dengan menyelaraskan rasa lapar, aktiviti dan metabolisme, bagi menstabilkan berat badan apabila kondisi berubah. Itu yang termostat buat, bukan? mengekalkan suhu di dalam rumah apabila cuaca di luar berubah. Suhu dalam rumah boleh diubah dengan membuka tingkap pada musim sejuk, tapi itu tidak akan mengubah seting termostat yang bertindak balas dengan mengaktifkan relau bagi memanaskan balik tempat. Otak bertindak dengan cara yang sama, bertindak balas kepada penurunan berat bagi mengembalikan badan kepada apa yang dianggapnya sebagai normal. Jika banyak berat badan hilang, otak bertindak seolah-olah anda kelaparan, tidak kira pada mulanya, anda kurus atau gemuk, tindak balas otak tetap sama. Alangkah indah sekiranya otak boleh beritahu jika kita perlu turunkan berat, tetapi tidak mungkin. Jika banyak berat badan hilang, anda jadi lapar, dan otot kurang membakar tenaga. Dr. Rudy Leibel dari Universiti Columbia mendapati bahawa orang yang hilang 10% daripada berat badan mereka membakar kurang 250 ke 400 kalori kerana metabolisme mereka disekat. Amaun itu agak banyak. Maknanya, untuk seseorang berjaya dalam diet dia mesti kurangkan makan sebanyak itu buat selama-lamanya berbanding seseorang yang sama berat tetapi sudah sentiasa kurus. Dari perspektif evolusi, tentangan badan terhadap penurunan berat masuk akal. Apabila makanan terhad, hidup nenek moyang kita bergantung pada penjimatan tenaga. Kenaikan semula berat apabila makanan kembali ada dapat melindungi mereka terhadap kekurangan berikutnya. Sepanjang sejarah manusia, kebuluran sentiasa menjadi masalah yang lebih besar daripada makan berlebihan. Satu fakta yang menyedihkan: Titil set boleh naik, tapi jarang turun. Jika ibu anda pernah sebut yang hidup ini tidak adil, inilah maksud dia. (Gelak ketawa) Diet yang berjaya tidak menurunkan titik set. Walaupun berat badan kekal selama 7 tahun, otak sentiasa cuba menaikkan kembali berat. Terutamanya jika penurunan itu disebabkan kebuluran yang panjang. Tapi dalam dunia moden yang ada burger, kita jarang ada masalah itu. Perbezaan antara zaman nenek moyang dengan zaman sekarang merupakan sebab kenapa Dr Yoni Freedhoff dari Universiti Ottawa mahu membawa pesakit beliau kembali pada zaman di mana makanan adalah terhad, dan ia juga sebab kenapa mengubah persekitaran pemakanan merupakan penyelesaian terbaik kepada obesiti. Malangnya, kenaikan berat badan sementara boleh menjadi kekal. Jika terlalu lama berada pada berat yang tinggi, mungkin buat beberapa tahun, otak mungkin tentukan yang itu adalah normal yang baru. Ahli psikologi mengelaskan pemakan kepada 2 kumpulan, mereka yang makan apabila lapar dan mereka yang cuba mengawal pemakanan mereka melalui keazaman, seperti berdiet. Kita panggil mereka "pemakan intuitif" dan "pemakan berkawal". Yang menariknya, pemakan intuitif kurang cenderung untuk mengalami berat badan berlebihan, dan mereka kurang berfikir tentang makanan. Pemakan berkawal lebih cenderung untuk makan berlebihan apabila dijaja dengan pengiklanan, pilihan saiz besar di restoran makanan segera dan bufet. Keinginan kecil, seperti satu skup ais krim, mungkin membawa kepada nafsu makan yang tinggi bagi pemakan berkawal. Kanak-kanak terutamanya lebih terdedah kepada kitaran diet lalu mendorong mereka makan mengikut nafsu. Beberapa kajian jangka panjang menunjukkan remaja yang berdiet pada umur awal belasan tahun 3 kali lebih cenderung untuk menjadi gemuk 5 tahun kemudiannya, walaupun pada mulanya berat badan mereka normal, dan semua kajian ini mendapati bahawa faktor sama yang meramal pertambahan berat badan juga meramal perkembangan kecelaruan makan. Faktor yang satu lagi, ibu bapa di luar sana, diusik oleh ahli keluarga disebabkan berat badan. Jangan buat macam tu. (Gelak ketawa) Saya tinggalkan hampir semua graf saya di rumah, tapi saya kena sampaikan yang ini. Saya seorang "geek". (Gelak ketawa) Kajian ini melihat kepada risiko kematian sepanjang tempoh 14 tahun berdasarkan 4 tabiat sihat: makan buah dan sayur yang mencukupi, bersenam 3 kali seminggu, tidak merokok, dan minum alkohol secara sederhana. Kita mula dengan subjek kajian yang mempunyai berat normal. Tinggi bar mewakili risiko kematian, dan nombor 0, 1, 2, 3, 4 pada paksi mengufuk mewakili bilangan tabiat sihat yang seseorang itu amalkan. Seperti yang dijangka, lebih sihat gaya hidup, lebih kecil kemungkinan subjek meninggal dunia semasa kajian. Sekarang kita lihat pada subjek berat badan berlebihan. Mereka yang tidak mengamalkan tabiat sihat berisiko kematian lebih tinggi. Menambah hanya 1 tabiat sihat, menarik golongan lebihan berat badan ke dalam julat normal. Bagi orang obes tanpa tabiat sihat, risiko mereka sangat tinggi, 7 kali lebih tinggi daripada kumpulan paling sihat dalam kajian ini. Tetapi gaya hidup sihat juga membantu golongan obes. Malah, jika anda lihat pada kumpulan yang mengamalkan kesemua tabiat sihat, berat badan tidak memberi perbezaan yang besar. Anda boleh kawal kesihatan dengan mengawal gaya hidup, biarpun gagal menurunkan dan mengekalkan berat badan. Diet tidak boleh dipercayai sepenuhnya. 5 tahun selepas berdiet, berat badan kebanyakan orang naik kembali. 40% daripada mereka naik jauh lebih banyak. Jika difikirkan, kesan tipikal berdiet ialah kecenderungan untuk naik berat dalam jangka masa panjang daripada hilang berat badan. Jika saya sudah yakinkan anda bahawa berdiet mungkin merupakan satu masalah, Soalan seterusnya ialah, apa yang anda lakukan? Jawapan saya ialah: kesedaran. Saya tak suruh anda belajar bertafakur ataupun yoga. Saya bercakap mengenai kesedaran tentang pemakanan: belajar memahami isyarat badan supaya anda makan apabila lapar dan berhenti apabila kenyang, kerana kenaikan berat berpokok pada isu makan apabila tidak lapar Bagaimana harus anda lakukan? Izinkan diri anda makan sebanyak mana anda mahu dan cuba fikir apa yang buatkan badan rasa bagus. Makan tanpa gangguan. Fikirkan bagaimana badan anda rasa apabila anda mula makan dan berhenti, biarkan perasaan lapar yang tentukan bila anda harus berhenti. Ambil masa setahun untuk saya belajar perkara ini, tapi ia benar-benar berbaloi. Saya berasa lebih tenang apabila dikelilingi makanan berbanding sebelum ini. Saya tidak selalu memikirkannya. Saya lupa yang kami ada coklat di rumah. Rasa macam makhluk asing ambil alih otak saya. Memang lain. Saya harus katakan, pendekatan ini mungkin tidak buatkan anda hilang berat kecuali anda selalu makan apabila tak lapar, tetapi para doktor tidak tahu mana-mana pendekatan yang memberi penurunan berat yang ketara, inilah sebabnya, ramai orang mula fokus pada mencegah pertambahan berat bukannya menurunkan berat. Sedarlah: Jika berdiet berkesan, kita semua sudah kurus. (Gelak ketawa) Kenapa kita masih buat benda sama dan harapkan kesan yang berlainan? Mungkin berdiet nampaknya tidak bahaya, tapi sebenarnya memberi banyak kesan sampingan. Paling teruk, ia merosakkan kehidupan: Obsesi berat mendorong kepada kecelaruan makan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak muda. Di Amerika, 80% budak perempuan berumur 10 tahun mengatakan mereka pernah berdiet. Mereka belajar menilai diri pada skala yang salah. Walaupun dilakukan dengan terbaik, berdiet membazirkan masa dan tenaga. Ia memerlukan keazaman yang mungkin boleh digunakan untuk membantu anak-anak dengan kerja sekolah atau menyiapkan kerja projek yang penting, dan disebabkan semangat azam itu terhad, sebarang strategi yang bergantung pada pengenaan konsisten selalunya bakal menggagalkan anda apabila tumpuan anda beralih ke sesuatu yang lain. Saya akhiri dengan satu pandangan. Bagaimana jika kita beritahu semua gadis yang berdiet, tak salah jika mereka makan apabila lapar? Bagaimana jika kita ajar mereka mengawal nafsu makan dan bukannya takut kepada nafsu itu? Saya rasa mereka akan lebih bahagia dan sihat, dan apabila dewasa, mungkin akan menjadi lebih kurus. Kalaulah ada orang beritahu saya perkara itu masa saya 13 tahun. Terima kasih. (Tepukan)