Apakah tempat yang paling indah pernah anda lawati? Dan ketika berada di sana, adakah anda mengambil gambar? Ini antara tempat yang terindah bagi saya. Ini Mesa Arch, yang terletak di Taman Negara Canyonlands di Utah ketika matahari terbit. Ini kampung halaman orang Pueblo, Ute, Paiute dan Navajo, dan jika anda ke sana, pemandangannya menakjubkan. Matahari terbit menerangi bahagian bawah gerbang jingga, dan di belakangnya, bukit bukau, awan serta cenuram. Tapi apa yang anda tidak dapat lihat ialah 30 orang di belakang saya yang turut mengambil gambar. Dan mereka ialah orang yang komited, yang suka bangun pagi, bukan? Jadi kalau difikirkan, pasti ada ratusan, kalau bukan ribuan gambar Mesa Arch diambil setiap minggu. Sudah beberapa tahun saya berkongsi gambar yang diambil di Instagram, dan apa yang menarik serta lucunya, betapa banyak gambar seakan sama yang diambil di tempat yang sama boleh dilihat dalam talian. Dan saya juga menyertainya. Hal ini buat saya terfikir: Apakah tujuan sebenar mengambil gambar? Kadangkala, saya melawat tempat yang popular -- ini Horseshoe Bend di Arizona -- dan saya lihat ramai orang mengeluarkan telefon dan kamera mengambil gambar, dan terus berpatah balik masuk ke kereta atau meneruskan perjalanan. Dan kadangkala nampaknya kita terlupa tujuan sebenar melawat sesuatu tempat untuk menikmati pengalaman atau melihat pemandangan dengan mata sendiri. Pabila saya di belakang kamera, saya nampak butiran kecil: lapisan cahaya di pergunungan ketika hari mulai gelap; bentuk yang digarap alam semula jadi, abstrak, namun sempurna seadanya. Saya boleh hanyut merenung setiap butiran pelusuk planet ini dan perasaan saya tentangnya. Mengambil gambar keindahan dan kerumitan dunia ini pada saya seperti melukis potret orang yang saya cintai. Dan apabila mengambil gambar, saya perlu fikir perkara yang mahu dituturkan. Saya perlu tanya diri saya perasaan yang mahu disampaikan. Pabila berkomunikasi melalui sekeping gambar, semua aspek kreatif adalah penting. Ada gambar yang saya mahu kongsi, ada yang saya simpan untuk diri sendiri. Saya kini mengacara siri video tentang masa depan dunia luar, dalam salah satu episodnya, kami mahu meneroka hubungan antara fotografi dengan ruang dunia luar. Saya belajar tentang kajian oleh Kristin Diehl dan rakan sekerjanya di USC, tentang kesan mengambil gambar terhadap tahap keseronokan. Mereka mendapati apabila kita memegang kamera, apabila kita yang mengambil gambar, kita lebih menikmati pengalaman itu, bukan sebaliknya. Tapi bukanlah pada setiap masa. Jika seseorang mengambil gambar hanya untuk berkongsi, tiada pertambahan kegembiraan, kerana mereka tidak buat untuk diri sendiri. Jadi ini menunjukkan satu perbezaan penting: fotografi boleh menambah nilai pengalaman anda sekiranya dilakukan dengan berhemah. Niat itu yang paling penting. Sebagai jurufoto, saya perlu tanya diri sendiri. Bila keadaan yang sesuai untuk keluarkan kamera, dan bila saya perlu menyimpannya? Ketika melawat Alaska, saya berpeluang mengambil gambar beruang perang Alaska. Saya di atas bot bersama empat lagi jurufoto, dan kami semua terpegun pada masa yang sama berada sangat dekat dengan haiwan-haiwan ini. Ia satu pengalaman yang penuh emosi. Bertentang mata dengan beruang-beruang itu buat saya rasa dekat tidak terungkap kata-kata, dan dengan kamera saya bersama meningkatkan lagi perasaan itu. Kami berkarya dengan cara tersendiri tapi menyeluruh dengan saat itu, dengan alam dan sesama sendiri. Saya masih ingat dengan jelas merakam titisan air dan pergerakan beruang berenang serta anak-anak beruang yang mengikuti ibu mereka. Kumpulan itu dan saya akan mempunyai pengalaman bersama dan gambar-gambar untuk ditatap kemudian berkali-kali, dan fotografi yang membolehkan kami berkongsi semua ini. Pada masa lain, saya memilih untuk simpan kamera, dan saya rasa pilihan itu menambah nilai pengalaman saya dan kerja saya. Baru-baru ini saya ke Pulau Pasifik Selatan Tonga untuk berenang dengan paus kelasa. Saya berasa ada satu paksaan dan kewajipan untuk membawa kamera bersama, apabila kadangkala saya hanya mahu menikmati pengalaman itu. Dan pengalaman itu sangat menakjubkan. Kita bercakap tentang menyelam bersama anak haiwan sebesar kereta ketika dikelilingi partikel yang terapung di sekeliling anda dan ibunya menyelam di bawah. Sudah tentu ada masanya, apabila saya bawa kamera bersama dan ia pengalaman yang hebat untuk dirakam. Ia seperti satu kotak yang besar. Beginilah rupanya. Ini antara saya dengan ikan paus itu, dan kadangkala ia terasa seperti pemisah antara diri anda dengan alam nyata. Apa bezanya kalau hanya dengan telefon? Tahun lepas, saya ke Uluru di Australia Tengah, di mana ada batu yang besar di tengah-tengah padang pasir. Ini adalah tanah suci untuk kaum Anangu, orang asal di tempat ini dan pemilik tradisi tanah itu. Ada beberapa tempat di Uluru yang tidak dibenarkan untuk ambil gambar, kerana ia tempat sensitif secara budaya, seperti kitab suci untuk Anangu. Jadi kerana ini, kebanyakan foto saya diambil dari jauh, seperti ini, atau dari sudut tertentu di taman itu. Boleh dikatakan kebanyakan pemandangan menarik dan indah di Uluru terletak di kawasan sensitif ini, tapi permintaan untuk tidak merakam foto jelas sekali satu jemputan untuk belajar lebih tentang tanah itu, kepentingannya dan orang asalnya. Bukankah itu yang sepatutnya dilakukan? Jadi kedatangan saya ke Uluru bukan lagi untuk diri saya tapi untuk memahami tempat itu. Ironinya, dan yang mengejutkan, saya mendapati kehadiran dan perhubungan juga menghasilkan gambar yang lebih menarik. Boleh dikatakan media sosial adalah tempat sesuai untuk berkongsi gambar percutian dan kenangan. Kita bukan sahaja berkongsi dunia yang kita lihat tetapi juga sebahagian daripada pengalaman seharian. Dan jika kita mengambil gambar dengan tujuan, harap-harap kita berkongsi dengan tujuan juga. Untuk saya, berkongsi cerita dan perspektif saya di atas talian mengingatkan saya bahawa saya tidak bersendirian. Ia membantu saya membina komuniti dan sokongan untuk orang lain juga. Biar saya jelaskan: saya bukan kata anda tidak boleh ambil gambar. Walaupun ribuan orang telah ke tempat yang sama dan ambil gambar yang sama saya galakkan anda keluar dan ambil juga. Dunia ini memerlukan setiap suara dan perspektif, termasuk daripada anda semua. Tapi perkara yang saya cuba sampaikan ialah telefon dan kamera tidak perlu sentiasa dikeluarkan. Apa yang saya cuba galakkan adalah untuk anda simpan sebentar -- untuk diri anda. Jadi mari kembali ke Mesa Arch, lihat batu itu bersinar warna jingga dan lapisan warna biru indah di belakangnya. Bagaimana kalau nanti anda berada di tempat yang indah, anda tidak boleh bawa kamera atau telefon? Bagaimana kalau anda tidak boleh mengambil gambar langsung? Adakah anda rasa terbatas? Atau rasa lega? Jadi apa yang boleh dibuat? Kalau anda rasa mahu keluarkan kamera atau telefon, atau, kalau saya, sedar-sedar sudah mengeluarkannya -- (Gelak ketawa) Pertama: berhenti. Berhenti sejenak. Tarik nafas dalam-dalam. LIhat di sekeliling. Apa yang anda nampak? Adakah anda menikmati saat ini bersama seseorang? Ingatlah bahawa saat ini hanya datang sekali. Fotografi boleh jadi sebahagian daripada pengalaman yang indah. Tapi jangan sampai menjadi penghalang antara diri anda dan realiti. Hiduplah dengan tujuan, dan jangan terlepas saat indah yang tidak dapat diganti, kerana terlalu asyik mengambil gambar. Terima kasih. (Tepukan)