Saya suka belajar bahasa asing. Malah, saya sangat suka hinggakan saya belajar bahasa baharu setiap dua tahun, kini, sedang belajar bahasa kelapan. Apabila orang dengar tentang ini, mereka tanya saya, "Bagaimana kamu belajar? Apa rahsia kamu?" Sejujurnya, selama bertahun-tahun, jawapan saya ialah, "Saya tak tahu. Saya hanya suka belajar bahasa." Tetapi orang tak berpuas hati dengan jawapan ini. Mereka ingin tahu kenapa mereka ambil masa bertahun-tahun untuk belajar satu bahasa. tidak pernah fasih, dan saya pula, belajar satu bahasa selepas bahasa yang lain. Mereka ingin tahu rahsia poliglot, penutur pelbagai bahasa. Ini membuatkan saya terfikir, bagaimana poliglot lain belajar bahasa? Apakah persamaan kami? Dan apakah yang membolehkan kami belajar bahasa lebih pantas daripada orang lain? Saya mengambil keputusan untuk bertemu orang seperti saya dan bertanya. Tempat terbaik untuk bertemu ramai poliglot ialah di program untuk ratusan pencinta bahasa bertemu untuk berlatih bahasa mereka. Terdapat pelbagai acara seperti ini yang dianjurkan di seluruh dunia. Saya ambil keputusan untuk pergi dan bertanya poliglot lain tentang kaedah mereka. Saya bertemu Benny dari Ireland, yang menyatakan dia mula bercakap dari hari pertama. Dia belajar beberapa frasa dari buku frasa pelancongan, pergi bertemu penutur jati dan terus berbual dengan mereka. Dia tidak kisah walaupun membuat 200 kesalahan sehari kerana itu cara dia belajar, berdasarkan maklum balas. Dan kini, dia tidak perlu banyak mengembara kerana anda boleh bertutur dengan penutur jati dari rumah anda, menggunakan laman web. Saya juga bertemu Lucas dari Brazil. Kaedahnya belajar bahasa Rusia amat menarik. Dia menambah seratus orang penutur Rusia secara rawak sebagai rakan di Skype. Kemudian, dia membuka tetingkap sembang dengan salah seorang dan tulis "Hi" dalam bahasa Rusia. Orang tersebut menjawab, "Hi, apa khabar?" Lucas salin ayat ini dan masukkan dalam tetingkap sembang dengan orang lain, dan orang tersebut menjawab, "Saya baik, terima kasih. Awak pula?" Lucas salin ayat ini kepada orang pertama. Dengan cara ini, dia membuat dua orang asing berbual sesama mereka tanpa pengetahuan mereka. (Gelak tawa) Akhirnya, dia mula menaip sendiri, kerana dia melihat banyak perbualan ini hinggakan dia belajar bagaimana perbualan dalam Rusia bermula. Bijakkan kaedah ini? Kemudian saya bertemu poliglot yang mula dengan meniru bunyi bahasa tersebut, dan yang belajar 500 perkataan yang sering digunakan dalam bahasa tersebut, dan yang bermula dengan membaca tentang tatabahasa. Jika saya bertanya seratus poliglot berbeza, saya mendengar seratus kaedah berbeza untuk mempelajari bahasa. Semua orang mempunyai cara tersendiri mempelajari bahasa, tetapi kami akhirnya dapat bertutur dalam pelbagai bahasa dengan fasih. Semasa saya mendengar kaedah pembelajaran poliglot-poliglot ini, akhirnya saya tersedar: satu perkara yang sama tentang kami ialah kami jumpa cara menyeronokkan untuk belajar bahasa. Semua poliglot ini bercakap tentang pembelajaran bahasa seperti ia amat menyeronokkan. Anda patut lihat wajah mereka semasa menunjukkan saya carta tatabahasa berwarna-warni, dan kad imbas buatan sendiri, dan statistik pembelajaran kosa kata menggunakan aplikasi, atau bagaimana mereka suka memasak menggunakan resipi dalam bahasa asing. Semua orang mempunyai cara berbeza, tetapi mereka sering memastikan cara itu menyeronokkan bagi mereka. Saya tersedar bahawa saya sendiri belajar seperti ini. Semasa belajar bahasa Sepanyol, saya bosan dengan buku teks. Siapa yang mahu membaca tentang Jose bertanya tentang arah ke stesen kereta api. Betul tak? Saya mahu membaca "Harry Potter" kerana itu buku kegemaran saya semasa kecil dan saya telah baca banyak kali. Jadi, saya dapatkan buku "Harry Potter" terjemahan Sepanyol dan mula membaca, dan sudah tentu saya tidak faham satu pun pada mulanya. Tetapi saya terus baca kerana saya suka buku itu, dan pada penghujungnya, saya hampir memahaminya tanpa masalah. Perkara sama berlaku semasa saya belajar bahasa Jerman. Saya mengambil keputusan untuk menonton "Friends" dalam bahasa Jerman. Sekali lagi, pada awalnya, semuanya merapu. Saya tidak tahu bila satu perkataan berakhir dan satu lagi bermula. Saya terus tonton setiap hari kerana ini "Friends", saya boleh tonton dalam bahasa apapun. Saya sangat sukakannya. Dan selepas musim kedua atau ketiga, saya mula faham dialognya. Saya sedar tentang perkara ini selepas bertemu poliglot lain. Kami bukan genius dan kami tiada jalan singkat untuk belajar bahasa. Kami hanya jumpa cara untuk menjadikan proses ini seronok, cara mengubah pembelajaran bahasa daripada sebuah subjek membosankan menjadi aktiviti menyeronokkan hinggakan anda tidak kisah buat setiap hari. Jika anda tidak suka menulis di atas kertas, anda boleh taip dalam aplikasi. Jika anda tidak suka mendengar bahan buku teks yang membosankan, cari kandungan menarik dalam YouTube atau podcast dalam apapun bahasa. Jika anda seorang introvert dan tidak dapat membayangkan terus bercakap dengan penutur jati, anda boleh bercakap dengan diri sendiri. Anda boleh bercakap dengan diri sendiri di dalam bilik, menerangkan rancangan anda pada hujung minggu, bagaimana hari anda, ataupun ambil gambar dengan telefon anda dan terangkan gambar tersebut kepada teman khayalan anda. Beginilah cara poliglot belajar bahasa, dan berita terbaik adalah semua orang boleh jika mereka sanggup mencari kaedah belajar sendiri. Bertemu dengan poliglot lain menyedarkan saya bahawa amat penting mencari keseronokan dalam proses mempelajari bahasa, tetapi juga keseronokan sahaja tidak cukup. Jika anda ingin fasih berbahasa asing, anda juga perlu mempunyai tiga lagi prinsip. Pertama, kaedah berkesan. Jika anda cuba menghafal senarai perkataan untuk ujian esok, perkataan itu akan disimpan dalam memori jangka pendek dan anda akan lupa selepas beberapa hari. Jika anda ingin menyimpan perkataan untuk jangka masa panjang, anda perlu mengulang kaji selama beberapa hari menggunakan kaedah pengulangan berkala. Anda boleh menggunakan aplikasi berasaskan sistem ini seperti Anki atau Memrise. Atau tulis senarai perkataan dalam buku menggunakan kaedah Goldlist yang juga sangat terkenal dalam kalangan ramai poliglot. Jika anda tidak pasti kaedah mana berkesan dan apa kaedah lain yang ada, lihat saluran YouTube dan laman web poliglot dan dapatkan inspirasi daripada mereka. Jika ia berkesan untuk mereka, ia kemungkinan akan berkesan untuk anda. Prinsip ketiga untuk diikuti ialah mencipta sistem dalam pembelajaran anda. Kita semua sangat sibuk dan tiada masa untuk belajar bahasa pada hari ini. Tetapi kita boleh meluangkan masa jika kita merancang sedikit awal. Bolehkah anda bangun 15 minit lebih awal daripada kebiasaan? Itu merupakan masa terbaik untuk mengulang kaji kosa kata. Bolehkah anda mendengar podcast semasa memandu ke tempat kerja? Itu masa terbaik untuk mendapatkan pengalaman mendengar. Banyak perkara boleh kita lakukan tanpa merancang masa tambahan seperti mendengar podcast semasa ke tempat kerja, atau semasa membuat kerja rumah. Perkara penting ialah menyediakan rancangan pembelajaran. "Saya akan berlatih bertutur setiap Selasa dan Khamis dengan seorang kawan selama 20 minit." "Saya akan mendengar video Youtube semasa bersarapan." Jika anda menyediakan sistem pembelajaran, anda tidak perlu mencari masa tambahan kerana ia akan menjadi sebahagian daripada hidup anda sehari-hari. Akhirnya, jika anda ingin fasih berbahasa asing, anda memerlukan sedikit kesabaran. Mustahil untuk belajar bahasa dalam masa dua bulan, tetapi kita boleh melihat peningkatan ketara dalam dua bulan, jika anda belajar sedikit demi sedikit setiap hari dengan penuh keseronokan. Tiada yang lebih memotivasikan kita berbanding kejayaan kita sendiri. Saya ingat dengan jelas saat saya memahami jenaka pertama dalam bahasa Jerman semasa menonton "Friends". Saya sangat gembira dan termotivasi, dan terus menonton dua lagi episod pada hari tersebut. Semakin lama saya menonton. lebih banyak saat yang saya fahami, kejayaan-kejayaan kecil. Selangkah demi selangkah, saya mencapai tahap saya boleh bertutur secara bebas dan fasih untuk menyampaikan apa-apa sahaja. Perasaan ini sangat hebat. Saya tak puas dengan perasaan ini dan kerana itulah saya belajar bahasa setiap dua tahun. Inilah rahsia keseluruhan poliglot. Cari kaedah berkesan yang anda boleh gunakan secara bersistem untuk tempoh tertentu dengan cara yang menyeronokkan. Beginilah poliglot belajar bahasa dalam beberapa bulan bukan beberapa tahun. Anda mungkin terfikir, "Bagusnya belajar bahasa dengan seronok, tetapi bukankah rahsia sebenar ialah poliglot lebih berbakat dan kebanyakan daripada kami tidak?" Ada satu perkara lagi yang saya tidak beritahu tentang Benny dan Lucas. Benny ada 11 tahun pengalaman Irish Gaelic dan lima tahun Jerman di sekolah. Dia langsung tidak boleh bertutur bahasa tersebut semasa tamat sekolah. Sehingga umur 21 tahun, dia ingat dia tiada gen bahasa dan dia tidak boleh bertutur bahasa lain. Kemudian, dia mula mencari cara tersendiri mempelajari bahasa iaitu bercakap dengan penutur jati dan mendapatkan maklum balas mereka. Hari ini, Benny boleh bertutur dalam 10 bahasa dengan mudah. Lucas cuba belajar bahasa Inggeris di sekolah selama 10 tahun. Dia salah seorang pelajar paling teruk dalam kelas. Malah, kawan-kawannya mengejeknya dan memberikannya buku teks Rusia sebagai jenaka kerana mereka sangka dia tidak akan belajar bahasa tersebut, atau bahasa lain. Kemudian Lucas mula menguji pelbagai kaedah, mencari cara belajarnya sendiri, contohnya dengan bersembang di Skype dengan orang asing. Dan selepas 10 tahun, Lucas boleh bertutur 11 bahasa dengan fasih. Bunyi seperti keajaiban? Saya lihat keajaiban seperti ini setiap hari. Sebagai mentor bahasa, saya membantu orang belajar bahasa secara sendiri. Saya lihatnya setiap hari. Orang bersusah payah mempelajari bahasa selama lima, 10, malah 20 tahun, kemudian, mereka mula belajar mengikut cara mereka sendiri, mula menggunakan bahan yang menyeronokkan, kaedah yang lebih berkesan, atau mula menjejak pembelajaran mereka agar mereka dapat menghargai pencapaian mereka sendiri, dan ketika itulah tiba-tiba mereka menemui bakat bahasa mereka yang hilang sebelum ini. Jadi, jika anda pernah cuba mempelajari bahasa dan berputus asa, merasakannya sangat susah atau anda tidak mempunyai bakat bahasa, cuba sekali lagi. Mungkin anda hanya satu langkah menyeronokkan daripada mempelajari bahasa dengan fasih. Mungkin anda hanya satu langkah daripada menjadi seorang poliglot. Terima kasih. (Tepukan)