Saya suka belajar bahasa asing.
Malah, saya sangat suka hinggakan saya
belajar bahasa baharu setiap dua tahun,
kini, sedang belajar bahasa kelapan.
Apabila orang dengar tentang ini,
mereka tanya saya,
"Bagaimana kamu belajar? Apa rahsia kamu?"
Sejujurnya, selama bertahun-tahun,
jawapan saya ialah,
"Saya tak tahu. Saya hanya suka
belajar bahasa."
Tetapi orang tak berpuas hati
dengan jawapan ini.
Mereka ingin tahu kenapa mereka ambil masa
bertahun-tahun untuk belajar satu bahasa.
tidak pernah fasih,
dan saya pula, belajar satu bahasa
selepas bahasa yang lain.
Mereka ingin tahu rahsia poliglot,
penutur pelbagai bahasa.
Ini membuatkan saya terfikir,
bagaimana poliglot lain belajar bahasa?
Apakah persamaan kami?
Dan apakah yang membolehkan kami
belajar bahasa lebih pantas
daripada orang lain?
Saya mengambil keputusan untuk bertemu
orang seperti saya dan bertanya.
Tempat terbaik untuk bertemu
ramai poliglot
ialah di program untuk ratusan
pencinta bahasa
bertemu untuk berlatih bahasa mereka.
Terdapat pelbagai acara seperti ini
yang dianjurkan di seluruh dunia.
Saya ambil keputusan untuk pergi
dan bertanya poliglot lain tentang
kaedah mereka.
Saya bertemu Benny dari Ireland,
yang menyatakan dia mula bercakap
dari hari pertama.
Dia belajar beberapa frasa
dari buku frasa pelancongan,
pergi bertemu penutur jati
dan terus berbual dengan mereka.
Dia tidak kisah walaupun membuat
200 kesalahan sehari
kerana itu cara dia belajar,
berdasarkan maklum balas.
Dan kini, dia tidak perlu
banyak mengembara
kerana anda boleh bertutur
dengan penutur jati
dari rumah anda, menggunakan laman web.
Saya juga bertemu Lucas dari Brazil.
Kaedahnya belajar bahasa Rusia
amat menarik.
Dia menambah seratus orang penutur Rusia
secara rawak sebagai rakan di Skype.
Kemudian, dia membuka tetingkap sembang
dengan salah seorang
dan tulis "Hi" dalam bahasa Rusia.
Orang tersebut menjawab,
"Hi, apa khabar?"
Lucas salin ayat ini dan masukkan dalam
tetingkap sembang dengan orang lain,
dan orang tersebut menjawab,
"Saya baik, terima kasih. Awak pula?"
Lucas salin ayat ini kepada orang pertama.
Dengan cara ini, dia membuat
dua orang asing berbual sesama mereka
tanpa pengetahuan mereka.
(Gelak tawa)
Akhirnya, dia mula menaip sendiri,
kerana dia melihat banyak perbualan ini
hinggakan dia belajar bagaimana
perbualan dalam Rusia bermula.
Bijakkan kaedah ini?
Kemudian saya bertemu poliglot yang mula
dengan meniru bunyi bahasa tersebut,
dan yang belajar 500 perkataan yang sering
digunakan dalam bahasa tersebut,
dan yang bermula dengan membaca
tentang tatabahasa.
Jika saya bertanya
seratus poliglot berbeza,
saya mendengar seratus kaedah berbeza
untuk mempelajari bahasa.
Semua orang mempunyai cara tersendiri
mempelajari bahasa,
tetapi kami akhirnya dapat bertutur
dalam pelbagai bahasa dengan fasih.
Semasa saya mendengar kaedah pembelajaran
poliglot-poliglot ini,
akhirnya saya tersedar:
satu perkara yang sama tentang kami
ialah kami jumpa cara menyeronokkan
untuk belajar bahasa.
Semua poliglot ini bercakap
tentang pembelajaran bahasa
seperti ia amat menyeronokkan.
Anda patut lihat wajah mereka
semasa menunjukkan saya
carta tatabahasa berwarna-warni,
dan kad imbas buatan sendiri,
dan statistik pembelajaran kosa kata
menggunakan aplikasi,
atau bagaimana mereka suka memasak
menggunakan resipi dalam bahasa asing.
Semua orang mempunyai cara berbeza,
tetapi mereka sering memastikan
cara itu menyeronokkan bagi mereka.
Saya tersedar bahawa saya sendiri
belajar seperti ini.
Semasa belajar bahasa Sepanyol,
saya bosan dengan buku teks.
Siapa yang mahu membaca tentang Jose
bertanya tentang arah
ke stesen kereta api. Betul tak?
Saya mahu membaca "Harry Potter"
kerana itu buku kegemaran saya
semasa kecil
dan saya telah baca banyak kali.
Jadi, saya dapatkan buku "Harry Potter"
terjemahan Sepanyol dan mula membaca,
dan sudah tentu
saya tidak faham satu pun pada mulanya.
Tetapi saya terus baca kerana
saya suka buku itu,
dan pada penghujungnya, saya hampir
memahaminya tanpa masalah.
Perkara sama berlaku
semasa saya belajar bahasa Jerman.
Saya mengambil keputusan untuk menonton
"Friends" dalam bahasa Jerman.
Sekali lagi, pada awalnya,
semuanya merapu.
Saya tidak tahu bila satu perkataan
berakhir dan satu lagi bermula.
Saya terus tonton setiap hari
kerana ini "Friends",
saya boleh tonton dalam bahasa apapun.
Saya sangat sukakannya.
Dan selepas musim kedua atau ketiga,
saya mula faham dialognya.
Saya sedar tentang perkara ini
selepas bertemu poliglot lain.
Kami bukan genius
dan kami tiada jalan singkat
untuk belajar bahasa.
Kami hanya jumpa cara
untuk menjadikan proses ini seronok,
cara mengubah pembelajaran bahasa
daripada sebuah subjek membosankan
menjadi aktiviti menyeronokkan hinggakan
anda tidak kisah buat setiap hari.
Jika anda tidak suka menulis
di atas kertas,
anda boleh taip dalam aplikasi.
Jika anda tidak suka mendengar
bahan buku teks yang membosankan,
cari kandungan menarik dalam YouTube
atau podcast dalam apapun bahasa.
Jika anda seorang introvert
dan tidak dapat membayangkan
terus bercakap dengan penutur jati,
anda boleh bercakap dengan diri sendiri.
Anda boleh bercakap dengan diri sendiri
di dalam bilik,
menerangkan rancangan anda
pada hujung minggu, bagaimana hari anda,
ataupun ambil gambar dengan telefon anda
dan terangkan gambar tersebut kepada
teman khayalan anda.
Beginilah cara poliglot belajar bahasa,
dan berita terbaik adalah
semua orang boleh
jika mereka sanggup
mencari kaedah belajar sendiri.
Bertemu dengan poliglot lain
menyedarkan saya
bahawa amat penting mencari keseronokan
dalam proses mempelajari bahasa,
tetapi juga keseronokan sahaja
tidak cukup.
Jika anda ingin fasih berbahasa asing,
anda juga perlu mempunyai
tiga lagi prinsip.
Pertama, kaedah berkesan.
Jika anda cuba menghafal senarai perkataan
untuk ujian esok,
perkataan itu akan disimpan dalam
memori jangka pendek
dan anda akan lupa selepas beberapa hari.
Jika anda ingin menyimpan perkataan
untuk jangka masa panjang,
anda perlu mengulang kaji
selama beberapa hari
menggunakan kaedah pengulangan berkala.
Anda boleh menggunakan aplikasi berasaskan
sistem ini seperti Anki atau Memrise.
Atau tulis senarai perkataan dalam
buku menggunakan kaedah Goldlist
yang juga sangat terkenal dalam kalangan
ramai poliglot.
Jika anda tidak pasti kaedah mana berkesan
dan apa kaedah lain yang ada,
lihat saluran YouTube
dan laman web poliglot
dan dapatkan inspirasi
daripada mereka.
Jika ia berkesan untuk mereka,
ia kemungkinan akan berkesan untuk anda.
Prinsip ketiga untuk diikuti
ialah mencipta sistem
dalam pembelajaran anda.
Kita semua sangat sibuk dan tiada masa
untuk belajar bahasa pada hari ini.
Tetapi kita boleh meluangkan masa jika
kita merancang sedikit awal.
Bolehkah anda bangun 15 minit lebih awal
daripada kebiasaan?
Itu merupakan masa terbaik untuk
mengulang kaji kosa kata.
Bolehkah anda mendengar podcast semasa
memandu ke tempat kerja?
Itu masa terbaik untuk
mendapatkan pengalaman mendengar.
Banyak perkara boleh kita lakukan
tanpa merancang masa tambahan
seperti mendengar podcast
semasa ke tempat kerja,
atau semasa membuat kerja rumah.
Perkara penting ialah
menyediakan rancangan pembelajaran.
"Saya akan berlatih bertutur setiap
Selasa dan Khamis
dengan seorang kawan selama 20 minit."
"Saya akan mendengar video Youtube
semasa bersarapan."
Jika anda menyediakan sistem pembelajaran,
anda tidak perlu mencari masa tambahan
kerana ia akan menjadi sebahagian
daripada hidup anda sehari-hari.
Akhirnya, jika anda
ingin fasih berbahasa asing,
anda memerlukan sedikit kesabaran.
Mustahil untuk belajar bahasa
dalam masa dua bulan,
tetapi kita boleh melihat
peningkatan ketara dalam dua bulan,
jika anda belajar sedikit demi sedikit
setiap hari dengan penuh keseronokan.
Tiada yang lebih memotivasikan kita
berbanding kejayaan kita sendiri.
Saya ingat dengan jelas saat
saya memahami jenaka pertama dalam
bahasa Jerman semasa menonton "Friends".
Saya sangat gembira dan termotivasi,
dan terus menonton dua lagi episod
pada hari tersebut.
Semakin lama saya menonton.
lebih banyak saat yang saya fahami,
kejayaan-kejayaan kecil.
Selangkah demi selangkah,
saya mencapai tahap saya boleh bertutur
secara bebas dan fasih
untuk menyampaikan apa-apa sahaja.
Perasaan ini sangat hebat.
Saya tak puas dengan perasaan ini
dan kerana itulah saya belajar bahasa
setiap dua tahun.
Inilah rahsia keseluruhan poliglot.
Cari kaedah berkesan
yang anda boleh gunakan secara bersistem
untuk tempoh tertentu
dengan cara yang menyeronokkan.
Beginilah poliglot belajar bahasa dalam
beberapa bulan bukan beberapa tahun.
Anda mungkin terfikir,
"Bagusnya belajar bahasa dengan seronok,
tetapi bukankah rahsia sebenar ialah
poliglot lebih berbakat dan kebanyakan
daripada kami tidak?"
Ada satu perkara lagi yang saya tidak
beritahu tentang Benny dan Lucas.
Benny ada 11 tahun pengalaman Irish Gaelic
dan lima tahun Jerman di sekolah.
Dia langsung tidak boleh bertutur
bahasa tersebut semasa tamat sekolah.
Sehingga umur 21 tahun,
dia ingat dia tiada gen bahasa
dan dia tidak boleh bertutur bahasa lain.
Kemudian, dia mula mencari cara tersendiri
mempelajari bahasa
iaitu bercakap dengan penutur jati
dan mendapatkan maklum balas mereka.
Hari ini, Benny boleh bertutur
dalam 10 bahasa dengan mudah.
Lucas cuba belajar bahasa Inggeris
di sekolah selama 10 tahun.
Dia salah seorang pelajar paling teruk
dalam kelas.
Malah, kawan-kawannya mengejeknya
dan memberikannya buku teks Rusia
sebagai jenaka
kerana mereka sangka dia tidak akan
belajar bahasa tersebut, atau bahasa lain.
Kemudian Lucas mula menguji
pelbagai kaedah,
mencari cara belajarnya sendiri,
contohnya dengan bersembang di Skype
dengan orang asing.
Dan selepas 10 tahun,
Lucas boleh bertutur 11 bahasa
dengan fasih.
Bunyi seperti keajaiban?
Saya lihat keajaiban seperti ini
setiap hari.
Sebagai mentor bahasa,
saya membantu orang belajar bahasa
secara sendiri.
Saya lihatnya setiap hari.
Orang bersusah payah mempelajari bahasa
selama lima, 10, malah 20 tahun,
kemudian, mereka mula belajar
mengikut cara mereka sendiri,
mula menggunakan bahan yang menyeronokkan,
kaedah yang lebih berkesan,
atau mula menjejak pembelajaran mereka
agar mereka dapat menghargai
pencapaian mereka sendiri,
dan ketika itulah tiba-tiba
mereka menemui bakat bahasa mereka
yang hilang sebelum ini.
Jadi, jika anda pernah cuba
mempelajari bahasa
dan berputus asa,
merasakannya sangat susah
atau anda tidak mempunyai bakat bahasa,
cuba sekali lagi.
Mungkin anda hanya
satu langkah menyeronokkan
daripada mempelajari bahasa dengan fasih.
Mungkin anda hanya satu langkah daripada
menjadi seorang poliglot.
Terima kasih.
(Tepukan)