Apakah isi kotak ini? Apapun ia, pasti ia penting, sebab saya telah mengembara bersamanya, memindahkannya dari pangsapuri ke pangsapuri. (Ketawa) (Tepukan) Biasa alami? Tahukah anda bahawa kita rakyat Amerika memiliki tiga kali ganda ruang yang dimiliki berbanding 50 tahun lalu? Tiga kali ganda. Tentu anda fikir dengan lebihan ruang, pasti ada cukup ruang untuk menyimpan barang, bukan? Tidak. Ada satu industri baru bernilai USD 22 bilion, seluas 2.2 bilion kaki²: Yakni industri ruang simpanan peribadi. Walaupun ruang tiga kali ganda lebih besar, kita semakin boros berbelanja sehingga memerlukan lebih banyak ruang simpanan. Ke manakah hala tuju kita? Lambakan hutang kad kredit, pencemaran alam sekitar dan mungkin juga secara tak langsung, tahap kebahagiaan kita mendatar sejak 50 tahun lalu. Saya ada pandangan yang lebih bernas, bahawa sedikit mungkin bermakna banyak. Saya yakin ramai pernah menikmati nikmat kesederhanaan: kolej -- di bilik kamu, kembara -- di bilik hotel, berkhemah -- walau kurang kelengkapan, atau mungkin sebuah bot. Apapun pengalaman kamu, saya yakin, ia memberi kamu sedikit kebebasan, sedikit lebihan masa. Saya berpendapat barang dan ruang yang kurang bermakna jejak karbon yang sedikit. Ia satu cara yang hebat untuk berjimat. Ia juga melegakan sedikit kehidupan kamu. Oleh itu saya mulakan projek Life Edited di lifeedited.org untuk meneruskan dan mencari penyelesaian untuk agenda ini. Pertama: pendanaan pangsapuri 420 kaki² saya di Manhattan dengan rakan kongsi Mutopo & Jovoto.com. Saya mahu kesemuanya-- pejabat rumah, meja makan untuk 10 orang, bilik tetamu dan ruang untuk peralatan seluncur lelayang saya. Dengan lebih 300 penyenaraian sedunia, saya berjaya mendapatkan kotak permata saya sendiri. Dengan membeli ruang 420 kaki², dan bukan 600 kaki², saya berjaya menjimatkan 200 ribu dolar. Ruang kecil tidak menggunakan tenaga yang yang banyak, jadi lebih banyak wang dapat dijimatkan. Jejak karbon juga dapat dikurangkan. Memandangkan ia direka berpandukan barang² terpilih-- barang kesayangan saya dan direka khas untuk saya, saya teruja untuk mendiaminya. Bagaimana caranya hidup sederhana? Ada tiga cara utama. Pertama, sunting sewenangnya. Kita perlu bersihkan arteri kehidupan kita. Baju yang sudah bertahun tak dipakai? Dah tiba masa untuk melepaskannya. Buang perkara remeh daripada kehidupan, kawal aliran masuk. Fikir dulu sebelum beli. Tanya diri, "Adakah barang ini benar-benar akan membahagiakan aku?" Memang betul kita perlu beli dan miliki barang yang berkualiti. Namun hanya barang dengan manfaat jangka panjang, bukan semua barang. Ke-2, slogan terbaru kami: sederhana itu bergaya. Kita mahu kecermatan ruang. Kita mahu rekaan alat yang fungsinya kerap digunakan, bukan untuk sekali-sekala saja. Mengapa perlu enam tungku jika tiga pun jarang digunakan? Oleh itu kita mahu barang yang boleh dilapiskan, boleh disusun bertindan dan didigitalkan. Kamu boleh bawa kertas kerja, buku, filem, dan kamu boleh hilangkannya seperti magik. Akhir sekali, kita mahu ruang dan peralatan rumah berbilang fungsi: gabungan pam tandas dan singki, gabungan meja makan dan katil di ruang yang sama, meja sisi kecil boleh dipanjangkan untuk 10 orang. Antara reka bentuk hebat Life Edited seperti yang tertera, kami gabungkan dinding bergerak dengan perabot boleh ubah untuk memanfaatkan ruang. Lihat meja kopi itu -- ia boleh memanjang dan melebar untuk menempatkan 10 orang. Pejabat saya boleh dilipat, senang disorok. Katil saya boleh dikeluarkan dari dinding dengan dua jari sahaja. Ada tetamu? Tolak dinding mudah alih. Turunkan katil lipat. Tak dilupakan, pawagam. Namun saya tak bermaksud kita semua perlu hidup dalam ruang 420 kaki². Cuba pertimbangkan manfaat kehidupan yang disunting. Daripada 3,000 ke 2,000. Daripada 1,500 ke 1,000. Mungkin ramai yang selesa berada di sini untuk beberapa hari dengan dua buah beg, di dalam ruang kecil seperti bilik hotel. Jadi tika pulang ke rumah dan melewati pintu depan, berhenti sejenak dan tanya diri, "Adakah manfaat jika saya sunting hidup saya? Mungkinkah ia dapat beri lebih kebebasan? Mungkin ada lebihan masa?" Apakah isi kotak ini? Itu tak penting. Saya tahu saya tak perlukannya. Apakah isi kotak kamu? Kemungkinan besar, sedikit bermakna banyak. Ayuh berikan ruang kepada barang² yang bermanfaat. Terima kasih. (Tepukan)