Saya berumur 8 tahun dan saya sangat bangga. Ayah saya telah membina rumah luar terbaik di kampung kami di Ukraine. Di dalam, tanah berbau dan lubang merekah, tapi di luar, ia berfomika putih dan ia berkilat di bawah sinaran matahari. Ini membuat saya berasa sangat bangga dan penting sehingga saya melantik diri sendiri sebagai ketua dalam kalangan kawan-kawan saya dan saya memikirkan misi-misi untuk kami. Kami merayau-rayau dari rumah ke rumah mencari lalat yang tertangkap di sarang labah-labah dan kami membebaskannya. 4 tahun lalu, semasa saya berusia 1 tahun, setelah kejadian Chernobly, air hujan berwarna hitam, setelah kejadian Chernobly, air hujan berwarna hitam, rambut adik saya gugur secara bergumpal, saya berada di hospital selama 9 bulan. Tiada pelawat dibenarkan, jadi mak saya merasuah seorang pekerja hospital. Dia dapat uniform jururawat, dia menyelinap masuk setiap malam dan duduk di sisi saya. 5 tahun kemudian, sesuatu yang tidak terjangka berlaku. Sebab kejadian Chernobyl, kami diberikan perlindungan di A.S. Saya berumur 6 tahun, saya tak menangis semasa kami meninggalkan kampung untuk datang ke Amerika, kerana saya menjangkakannya sebuah tempat yang dipenuhi benda yang jarang ditemui seperti pisang, coklat, dan gam kunyah Bazooka, gam kunyah Bazooka yang ada pembalut kartun di dalam, Bazooka yang kami dapat sekali setahun di Ukraine dan kami mengunyah sekeping selama seminggu. Pada hari pertama kami di New York, nenek saya dan saya terjumpa satu sen di atas lantai di sebuah rumah perlindungan yang keluarga saya diami. Kami tidak tahu ia untuk orang yang tidak berumah. Kami ingat ia sebuah hotel, hotel yang dipenuhi tikus. Satu sen ini seperti telah memfosil di lantai, kami ingat seseorang yang kaya telah meninggalkannya di situ kerana orang biasa tidak akan kehilangan wang begitu saja. Saya meletakkan satu sen ini di tapak tangan saya. Ia melekit dan berkarat, tapi saya berasa sangat kaya. Saya putuskan bahawa saya akan mendapatkan gam kunyah Bazooka untuk diri sendiri. Pada saat itu, saya berasa seperti seorang jutawan. Kira-kira setahun kemudian, saya mempunyai perasaan yang sama apabila kami terjumpa sebuah beg yang dipenuhi patung haiwan di dalam tong sampah. Tiba-tiba, saya mempunyai mainan yang paling banyak sepanjang hidup saya. Saya mempunyai perasaan yang sama lagi apabila pintu rumah kami di Brooklyn diketuk, adik saya dan saya nampak seorang penghantar bersama sekotak piza yang kami tidak pesan. Kami menerima piza itu, piza kami yang pertama. Kami membaham kepingan piza sementara penghantar itu berdiri dan merenung kami di muka pintu. Dia meminta bayaran, tapi kami tidak pandai berbahasa Inggeris. Mak saya keluar, penghantar itu meminta bayaran daripadanya, tapi mak saya tidak mempunyai wang yang cukup. Setiap hari, dia pergi dan balik ke tempat kerja melalui 50 blok bangunan hanya untuk menjimatkan tambang bas. Kemudian, jiran kami datang. Dia marah apabila dia sedar bahawa pendatang di tingkat bawah telah menerima pizanya. Semua orang marah. Tapi, piza itu sedap. Selepas beberapa tahun barulah saya sedar bahawa kami sangat miskin. Pada ulang tahun ke-10 kami di A.S., kami mahu meraikannya dengan menempah sebuah bilik di hotel yang kami diami semasa kami baru tiba di A.S. Lelaki di meja depan ketawa, katanya, "Ini tempat perlindungan untuk orang yang tidak berumah." Kami terkejut. Suami saya, Brian, juga tidak berumah semasa dia masih kecil. Keluarganya kehilangan semuanya. Pada usia 11, dia terpaksa tinggal di motel bersama ayahnya, motel yang tidak akan memberikan makanan sehingga mereka mampu membayar bil. Pada suatu hari, apabila dia mendapat Frosted Flakes, ia dikelilingi lipas. Tapi, dia mempunyai sesuatu. Dia mempunyai kotak kasut yang sentiasa dibawanya yang mengandungi 9 buah komik: 2 G.I. Joes yang dilukis seperti Spider Man dan 5 Gobots. Ia bernilai bagi dia. Itu merupakan koleksi hero yang menjauhkannya daripada dadah dan geng dan tidak berputus asa terhadap impian. Saya akan menceritakan seorang lagi ahli keluarga kami yang dahulunya tidak berumah. Ini Scarlet. Dulu, Scarlet digunakan sebagai umpan dalam pertarungan anjing. Scarlet diikat dan dibuang ke tempat pertarungan untuk diserang anjing-anjing lain agar anjing-anjing ini menjadi lebih agresif sebelum pertarungan. Sekarang, Scarlet makan makanan organik dan tidur di katil ortopedik yang tertera namanya. Apabila kami menuang air ke dalam mangkuknya, Scarlet akan melihat ke atas dan menggoyang-goyangkan ekornya sebagai tanda berterima kasih. Kadangkala, Brian dan saya berjalan-jalan di taman bersama Scarlet. Scarlet bergolek-golek di atas rumput dan kami melihatnya. Kemudian, kami saling memandang dan kami berasa bersyukur. Kami melupakan semuanya tentang kekecewaan baru kelas pertengahan dan kehampaan, kami berasa seperti jutawan. Terima kasih. (Tepukan)