Terima kasih banyak. Saya Hannah Fry, seorang ahli matematik. Hari ini, saya akan bercakap tentang cinta dari sudut matematik. Rasanya kita semua bersetuju bahawa ahli matematik pandai mencari kekasih. (Gelak ketawa) Tapi, ia bukannya sekadar kerana kami ada personaliti yang menarik, kemahiran berkomunikasi yang baik, dan kotak pensel yang hebat, (Gelak ketawa) Ia juga kerana kami telah meninjau dari sudut matematik cara untuk mencari pasangan yang sesuai. Dalam artikel kegemaran saya, iaitu artikel Matematik yang bertajuk "Mengapa saya tidak ada teman wanita", (Gelak ketawa) Peter Backus cuba menilai peluangnya untuk menemui seorang kekasih. Peter bukannya seorang lelaki yang tamak. Antara semua perempuan di U.K., Peter mencari seseorang yang tinggal berdekatan dengan rumahnya, seseorang yang sesuai dari segi usia, seseorang yang ada kelulusan universiti, seseorang yang dapat bergaul secara baik dengannya, seseorang yang ada daya tarikan, seseorang yang mendapati dia ada daya tarikan. (Gelak ketawa) Anggarannya, terdapat 26 perempuan di U.K. yang sesuai dengannya. Ia tak kelihatan baik, betul, Peter? Mari kita menilainya, ia 400 kali ganda lebih kurang berbanding anggaran jumlah makhluk asing yang wujud. Bagi Peter, Peluangnya ialah 1 dalam 285,000 untuk bertemu salah seorang wanita tersebut pada suatu malam. Rasanya itulah sebabnya ahli matematik tak suka keluar pada waktu malam. Saya tak bersetuju dengan pandangan yang pesimistik ini, kerana saya tahu, anda semua pun tahu, bahawa itu bukannya cinta. Perasaan manusia bukannya terkawal dan mudah diramal. Tapi, saya tahu ia tak bermakna bahawa matematik tak dapat membantu kita kerana cinta, seperti pelbagai hidupan, juga mempunyai polanya. Pada asasnya, ilmu matematik digunakan untuk mengkaji pola, contohnya ramalan cuaca, turun naik harga saham, pergerakan planet, atau perkembangan bandar. Kita tahu, semua itu bukannya terkawal dan mudah diramal. Saya percaya bahawa matematik sangat berguna, dan ia berpontensi memberi kita perspektif yang baru, walaupun ia melibatkan sesuatu yang penuh misteri seperti cinta. Jadi, untuk menunjukkan kepada anda bahawa matematik amat mengagumkan, hebat, dan berguna kepada kita, saya akan tunjukkan 3 petua untuk cinta yang telah disahkan dari segi matematik. Baiklah, Petua #1: Cara untuk mencari kekasih dalam laman web dating. OkCupid ialah Laman web dating kegemaran saya. Ia dimulakan oleh sekumpulan ahli matematik. Ahli-ahli matematik ini telah mengumpulkan data pengguna laman web itu selama sepuluh tahun. Mereka cuba mencari pola-pola pengguna memperkenalkan dirinya dan cara mereka berinteraksi dalam laman web dating. Hasil-hasil kajian tersebut sangat menarik. Tapi, yang menjadi kegemaran saya, didapati bahawa dalam laman web dating, daya tarikan anda tidak menggambarkan kepopularan anda. Sebenarnya, jika orang lain rasa bahawa anda adalah hodoh, mungkin ia adalah baik bagi anda. Saya akan menerangkannya. Dalam sebuah bahagian dalam OkCupid, anda boleh menilai daya tarikan pengguna lain dengan menggunakan skor antara 1 hingga 5. Jika kita membandingkan skor purata ini dengan bilangan mesej yang diterima sekumpulan pengguna, anda akan faham perhubungan antara daya tarikan dengan kepopularan dalam laman web dating. Inilah graf yang dihasilkan oleh pihak OkCupid. Yang penting di sini ialah, orang yang ada daya tarikan yang tinggi tidak semestinya akan menerima mesej yang banyak. Baiklah, mungkin trendnya begitu, tapi terdapatnya pekali penentuan. Tapi persoalannya ialah, kenapa pengguna di sini adalah lebih popular daripada pengguna di sini walaupun skor daya tarikan mereka adalah sama? Sebabnya, rupa tidak begitu penting. Saya akan menerangkannya dengan menggunakan satu contoh. Ini ialah Portia de Rossi. Semua orang bersetuju bahawa Portia de Rossi sangat cantik. Tiada orang rasa dia adalah hodoh, tapi dia bukannya supermodel. Jika Portia de Rossi dibandingkan dengan Sarah Jessica Parker, ramai orang, termasuk saya, rasa bahawa Sarah Jessica Parker sangat cantik, dan mungkin dia merupakan salah seorang manusia yang paling cantik di Bumi. Tapi orang lain, iaitu kebanyakan pengguna Internet, (Gelak ketawa) rasa bahawa dia nampak seperti kuda. (Gelak ketawa) Saya rasa jika orang ramai diminta untuk menilai Sarah Jessica Parker atau Portia de Rossi dengan menggunakan skor antara 1 hingga 5, saya rasa kedua-duanya akan mendapat skor yang hampir sama. Tapi, cara orang ramai mengundi adalah sangat berbeza. Orang ramai akan memberi Portia skor 4 kerana mereka bersetuju bahawa dia sangat cantik, manakala skor yang diterima Sarah Jesica Parker adalah berbelah bagi. Sebenarnya, perbezaan inilah yang bermakna. Perbezaan inilah yang menjadikan anda lebih popular dalam laman web dating. Jadi, ia bermakna, jika ada orang rasa bahawa anda ada daya tarikan, maka ada juga orang yang rasa bahawa anda tak ada daya tarikan. Ia adalah lebih baik daripada semua orang rasa anda ialah gadis di rumah sebelah yang comel. Rasanya ia lebih munasabah jika anda melihatnya dari sudut pengguna yang menghantar mesej. Katakanlah anda rasa seseorang itu ada daya tarikan, tapi anda rasa mungkin orang lain tak berminat padanya. Maksudnya, anda tak ada pesaing yang ramai dan anda berpeluang berhubung dengan orang itu. Bandingkan, jika anda rasa seseorang itu ada daya tarikan, tapi anda rasa orang lain pun rasa begitu. Anda tak mahu memalukan diri sendiri, betul? Berikut ialah bahagian yang sangat menarik. Bila pengguna memilih gambar yang akan digunakan dalam laman web dating, selalunya mereka cuba mengelakkan bahagian yang mereka rasa akan kelihatan hodoh bagi orang lain. Contoh yang klasik, orang yang gemuk akan memilih gambar yang telah diubah suai, atau contohnya, orang yang botak akan memilih gambar yang menunjukkannya memakai topi. Tapi, anda tak patut membuat begitu jika anda mahu berjaya. Anda sepatutnya menggunakan sesuatu yang menjadikan anda berbeza, walaupun mungkin orang lain akan rasa ia adalah hodoh. Sebab, orang yang sukakan anda tak kisahkan semua itu. Orang yang tak sukakan anda pula akan menyusahkan anda. Baiklah, itu dia Petua#1. Petua #2: Cara untuk memilih pasangan yang sesuai. Katakanlah anda sangat popular dalam laman web dating. Tapi, bagaimana anda berubah daripada menjadi popular kepada menikmati kebahagian jangka panjang, iaitu bagaimana anda tahu sudah tiba masanya untuk berkahwin? Biasanya, pengguna dinasihatkan jangan berkahwin dengan orang pertama yang muncul dan menunjukkan minat pada anda. Tapi, anda juga tak mahu menunggu terlalu lama jika anda mahu memperoleh kebahagian jangka panjang. Seperti yang ditulis penulis kegemaran saya, Jane Austen, "Perempuan bujang yang berusia 7 dan 20 tahun tidak lagi dapat merasai atau mencetuskan rasa kasih sayang." (Gelak ketawa) Terima kasih, Jane. Apa yang awak tahu tentang cinta? Jadi, persoalannya ialah, bagaimana anda tahu sudah tiba masanya untuk berkahwin bila terdapatnya ramai orang yang boleh dipilih? Syukurlah, terdapat sebuah teori matematik yang boleh digunakan untuk membantu kita, iaitu teori pemberhentian optimum. Jadi, bayangkan, anda mula berdating semasa anda berusia 15 tahun. Secara ideal, anda mahu berkahwin semasa anda berusia 35 tahun. Terdapat sebilangan orang yang anda boleh keluar bersama sepanjang hidup anda dan kualiti mereka adalah berbeza-beza. Peraturannya, setelah anda berkahwin, anda tak boleh mencari calon lain yang berpotensi dikahwini. Anda juga tak boleh mencari bekas kekasih dan bercerai. Berdasarkan pengalaman saya, seseorang itu tak suka berjumpa bekas kekasihnya setelah mereka berpisah disebabkan orang lain. Mungkin itu cuma saya. Jadi, matematik menunjukkan apa yang anda patut buat pada 37% pertama dalam masa berdating anda, anda patut menolak setiap orang yang berpotensi berkahwin dengan anda. (Gelak ketawa) Kemudian, anda patut memilih orang seterusnya yang anda temui kerana dia adalah lebih baik berbanding yang lain. Inilah contohnya. Jika anda berbuat demikian, sebenarnya ia boleh dibuktikan dari segi matematik bahawa inilah cara terbaik untuk memaksimumkan peluang anda menemui pasangan yang sesuai. Malangnya, saya perlu beritahu anda bahawa cara ini mempunyai risikonya. Sebagai contoh, bayangkan jika pasangan yang sesuai itu ditemui dalam 37% yang pertama. Malangnya, anda perlu menolaknya. (Gelak ketawa) Jika anda percayakan kiraan matematik, dan jika anda tidak menemui orang yang lebih baik daripada yang lain, maka anda terpaksa menolak sesiapa pun dan mati bersendirian. (Gelak ketawa) Mungkin anda akan dikelilingi kucing yang menggigit-gigit mayat anda. Baiklah, risiko yang kedua, bayangkan, orang pertama yang anda temui dalam 37% yang pertama amat membosankan dan teruk. Tidak mengapa, kerana anda berada dalam fasa menolak. Tidak mengapa, kerana anda berada dalam fasa menolak. Tak mengapa, anda boleh menolak mereka. Tapi bayangkan, orang seterusnya yang anda temui tidak begitu membosankan dan teruk berbanding orang lain yang anda temui. Jika anda percayakan kiraan matematik, maka anda terpaksa berkahwin dengannya dan menjalani perkahwinan yang tidak bahagia. Saya berasa kesal dengannya. Tapi saya rasa Hallmark boleh memanfaatkannya dan membuka pasaran ini. Kad Hari Valentine seperti ini. (Gelak ketawa) "Suamiku yang dikasihi, kau taklah begitu teruk berbanding lelaki dalam 37% pertama yang keluar dengan aku." Sebenarnya, ia lebih romatik daripada apa yang saya usahakan. Jadi, cara ini tidak memberikan kadar kejayaan 100%, tapi tidak terdapatnya strategi lain yang lebih baik. Sebenarnya, terdapatnya beberapa jenis ikan yang mengikut dan menggunakan strategi ini. Ikan-ikan ini menolak pelamar yang berada dalam 37% yang pertama semasa musim mengawan, kemudian ikan-ikan ini memilih ikan seterusnya yang ditemui selepas itu, entahlah, mungkin yang lebih besar dan kuat berbanding ikan-ikan lain yang ditemui sebelum itu. Rasanya tanpa disedari, manusia juga berbuat demikian. Kita memberikan masa kepada diri sendiri untuk berseronok, meninjau pasaran kita dan sebagainya bila kita masih muda. Kita mula mencari secara serius calon yang sesuai dikahwini bila mencecah usia pertengahan 20-an. Rasanya ini ialah bukti yang konklusif, bahawa otak kita boleh mengira secara semula jadi. Baiklah, itulah dia Petua #2. Sekarang, Petua #3: Cara untuk mengelakkan perceraian. Bayangkan anda telah memilih pasangan yang sesuai, dan anda telah berkahwin dengannya. Secara ideal, saya rasa semua orang mahu mengelakkan perceraian, melainkan, entahlah, mungkin isteri Piers Morgan? Tapi, memang menyedihkan, dalam kehidupan moden, 1 dalam 2 perkahwinan di Amerika berakhir dengan perceraian, negara-negara lain tidak begitu ketinggalan. Anda boleh dimaafkan jika anda berfikir bahawa perbalahan yang mencetuskan perceraian bukannya perkara yang ideal untuk dinilai dari segi matematik. Sebab, adalah sukar untuk menentukan apa yang patut dinilai atau dinyatakan kuantitinya. Tapi, ia tidak menghalang ahli psikologi, John Gottman, berbuat demikian. Gottman memerhatikan beratus-ratus pasangan berbual dan merekodkan semua perbualan mereka. Jadi, dia merekodkan apa yang dibualkan, kekonduksian kulit mereka, air muka mereka, kadar denyutan jantung, dan tekanan darah mereka, pada dasarnya semua perkara, kecuali sama ada kata-kata si isteri adalah sentiasa betul. Sebenarnya, kata-kata si isteri memang betul. Tapi, apa yang ditemui Gottman dan pasukannya ialah salah satu peramal yang amat penting bagi sama ada pasangan suami isteri akan bercerai, iaitu sikap yang positif atau negatif dalam perbualan. Pasangan suami isteri yang ada risiko yang rendah mendapat lebih banyak skor positif berdasarkan ukuran Gottman. Manakala bagi perhubungan yang teruk, iaitu mereka yang mungkin akan bercerai, mereka berada dalam keadaan yang negatif. Dengan menggunakan cara yang mudah ini, Gottman dan kumpulannya dapat meramal sama ada pasangan suami isteri akan bercerai dan ketepatan ramalan ialah 90%. Setelah dia bekerjasama dengan seorang ahli matematik, James Murray, mereka mula memahami apa yang menyebabkan keadaan negatif ini dan bagaimana ia berlaku. Saya rasa hasil dapatan mereka amat mudah difahami dan menarik. Ini dia. Rasanya ia adalah jelas. Kedua-dua persamaan ini meramalkan bagaimana si isteri atau suami akan menjawab dalam perbualan yang seterusnya, sama ada secara positif atau negatif. Kedua-dua persamaan ini bergantung pada anginnya semasa dia bersendirian, anginnya semasa dia bersama pasangannya, tapi yang terpenting, ia bergantung pada setakat mana pasangan suami isteri itu saling mempengaruhi. Pada ketika ini, adalah penting untuk mengatakan bahawa kedua-dua persamaan ini juga didapati dapat menunjukkan dengan tepat apa yang berlaku antara dua negara yang terlibat dalam perlumbaan senjata. (Gelak ketawa) Jadi, pasangan suami isteri yang berbalah, berada dalam keadaan negatif, dan hampir-hampir bercerai adalah sama seperti permulaan perang nuklear dari sudut matematik. (Gelak ketawa) Tapi, perkara yang penting dalam kedua-dua persamaan ini ialah pengaruh seseorang itu pada orang lain, secara khusus, ia dikenali sebagai ambang kenegatifan. Ambang kenegatifan boleh dilihat dari segi betapa teruknya si suami sehingga si isteri mula berasa geram, dan sebaliknya. Bagi saya, pasangan suami isteri yang bahagia bertolak ansur, saling memahami, dan memberikan ruang peribadi kepada pasangannya. Jadi, saya rasa pasangan suami isteri yang amat bahagia mempunyai ambang kenegatifan yang sangat tinggi. Mereka membiarkan saja sesuatu dan akan membincangkannya jika ia sesuatu yang serius. Sebenarnya, persamaan matematik dan hasil dapatan pasukan tersebut telah menunjukkan yang sebaliknya. Pasangan suami isteri yang sangat bahagia mempunyai ambang kenegatifan yang sangat rendah. Mereka tidak membiarkan sesuatu dan memberikan ruang untuk melahirkan rasa tidak puas hati. Mereka sentiasa cuba membaiki perhubungan mereka dan ia memberikan kesan positif pada perkahwinan mereka. Mereka tidak membiarkan sesuatu dan tidak membenarkan perkara yang remeh menjadi serius. Semestinya, bukan saja ambang kenegatifan yang rendah dan saling bertolak ansur dapat menghasilkan perhubungan yang baik. Saya rasa adalah agak menarik kerana terdapatnya bukti dari segi matematik yang menyatakan bahawa jangan menyimpan kemarahan anda. Jadi, itulah dia tiga petua dari sudut matematik yang boleh membantu soal cinta dan perhubungan anda. Tapi saya berharap, selain digunakan sebagai petua, ia juga dapat membuka mata anda tentang kehebatan matematik. Kerana bagi saya, persamaan dan simbol bukannya merupakan sebuah perkara saja. Ia juga merupakan sebuah suara yang dapat menyatakan kekayaan alam semula jadi dan keringkasan yang mengejutkan yang terdapat dalam pola-pola yang berada di sekitar kita, daripada bagaimana dunia ini berfungsi sehingga bagaimana kita bertindak. Saya berharap, mungkin bagi beberapa orang, sedikit ilmu tentang cinta dari sudut matematik dapat menggalakkan anda agar lebih menyukai matematik. Terima kasih. (Tepukan)